TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menafikan bahawa ahli parti itu kini berpecah kepada kem penyokong beliau dan juga penyokong ketua umum Anwar Ibrahim.
Menteri hal ehwal ekonomi yang dikatakan rapat dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu menggesa semua pihak agar tidak mendengar dakwaan mengenai perpecahan itu.
“Jangan layan semua cerita-cerita. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berulang kali menyatakan beliau sendiri memberikan sokongan yang padu kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
“Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail telah mengeluarkan kenyataan menyeru semua anggota PKR mesti mendukung kepimpinan Dr Mahathir untuk memimpin kerajaan baru Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Azmin berkata demikian mengulas laporan portal Internet yang mendakwa parti berkenaan terbahagi kepada dua.
Sumber dalam laporan tersebut mendakwa kebanyakan ahli yang menyertai PKR pada awal penubuhannya melahirkan kebimbangan berikutan hubungan rapatnya dengan Dr Mahathir.
Katanya, dakwaan seperti itu merupakan agenda Umno untuk memecah-belahkan perpaduan Pakatan Harapan yang menurutnya semakin utuh.
Azmin juga menegaskan bahawa beliau hanya akan mengumumkan jawatan yang akan ditandinginya selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.
Pemilihan PKR akan berlangsung pada 24 Ogos selama sembilan minggu dan keputusan dijangka diumumkan pada November ini. – 2 Ogos, 2018
Komen