Menteri kata rundingan Splash masih berjalan


Yasmin Ramlan

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata rundingan pengambilalihan tersebut masih diteruskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2018

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali menafikan kerajaan akan membeli Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash) dengan harga RM2.7 bilion.

Bekas menteri besar Selangor itu menjelaskan, rundingan pengambilalihan tersebut masih diteruskan.

“Apabila saya tinggalkan kerajaan negeri, proses rundingan telah dilanjutkan sehingga 4 Julai.

“Saya diberitahu bahawa ia telah dilanjutkan untuk sebulan lagi sejak itu dengan mendapat kelulusan Kabinet,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tambahnya, pengguna dengan tidak harus dibebankan kadar tarif yang tinggi bagi membiayai proses pengambilalihan Splash.

Beliau mengulas kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak yang mendakwa kerajaan Selangor akan membeli Splash dengan harga RM2.7 bilion.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa seorang individu bergelar Tan Sri turut memiliki 30% saham dalam Splash ketika ini.

Dakwa Najib, individu yang tidak dinamakan itu adalah rakan kepada seorang pemimpin Pakatan Harapan dan pengasas sebuah parti.

“Saya ingin memaklumkan bahawa akan ada pembelian Splash oleh kerajaan Selangor dalam tempoh dua tiga hari ini.

“Ia akan dibeli dengan harga RM2.7 bilion. Ada Tan Sri dalam Splash yang memiliki 30% saham dalam syarikat itu,” kata Najib seperti dilaporkan Berita Harian. – 2 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen