Syed Saddiq singkir pemimpin Pemuda Umno dari badan KBS


Yasmin Ramlan

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pegawai yang dilantik ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional itu melibatkan pemimpin Pemuda Umno.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2018

SEMBILAN ahli lembaga pengarah lantikan politik di bawah agensi Kementerian Belia dan Sukan ditamatkan perkhidmatan, kata menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Menurut Syed Saddiq, ia melibatkan sembilan ahli lembaga pengarah termasuk pengerusi dalam dua badan bawah KBS iaitu Perbadanan Golf Subang dan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.

Pegawai yang dilantik ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional itu melibatkan pemimpin Pemuda Umno, katanya.

“Saya telah memberikan nota terima kasih dan menamatkan perkhidmatan (kerana) mereka adalah lantikan politik. 

“Mereka yang terdiri daripada ahli Umno dan juga jawatan dalam kepimpinan Umno seperti ketua pemuda atau ketua bahagian akan digantikan dengan lantikan bukan politik,”

Maklumat lanjut mengenainya akan didedahkan kemudian, katanya lagi yang tidak menyatakan tarikh penamatan khidmat itu berkuatkuasa.

Sebelum ini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan, kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan akan menyingkirkan 17,000 kakitangan awam dari lantikan politik bagi menjimatkan perbelanjaan negara.

Dr Mahathir menyifatkan jawatan lantikan politik sebagai ‘pembaziran’ yang harus ditangani kerajaan. – 2 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen