Siasatan berhubung surat kepada CIA selesai, kata polis 


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung identiti individu yang membocorkan surat berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2018

POLIS telah melengkapkan siasatan berhubung kebocoran surat yang dihantar kepada pengarah Agensi Risikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), Gina Haspel, kata Mohamad Fuzi Harun hari ini. 

Ketua polis negara itu memberitahu kepada pemberita hari ini kertas siasatan itu telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut. 

“Kita telah melengkapkan siasatan. Kita sedang menunggu langkah seterusnya daripada AGC,” kata Fuzi ketika ditanya berhubung perkembangan perkara itu. 

Bagaimanapun Fuzi enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada polis sudah mengetahui identiti individu yang membocorkan surat sulit itu kepada umum. 

“Saya tidak boleh mengulas berhubung perkara itu. Siapa yang bocorkan surat itu adalah sebahagian daripada siasatan kita,” katanya.

Fuzi kemudiannya turut ditanya sama ada bahagian Cawangan Khas sedia maklum berhubung surat berkenaan ketika ia dihantar kepada CIA pada 4 Mei. 

“Kami tidak tahu. Kami tidak tahu mengenainya. Ia tidak dihantar kepada SB,” katanya.  – 2 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen