Wanita Umno, PAS kata Pakatan tak faham dasar tutup aurat


Yasmin Ramlan

Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata semua pihak perlu bersikap terbuka terhadap hak menutup aurat yang diminta oleh majoriti wanita Muslim di negara ini. – Gambar Facebook, 2 Ogos, 2018.

SAYAP wanita PAS dan Umno mengecam ahli Parlimen wanita yang didakwa tidak memahami tuntutan mereka agar kerajaan membela hak wanita Islam menutup aurat.

Ketua sayap wanita parti pembangkang tersebut mendakwa kenyataan ahli Parlimen DAP dan PKR seolah-olah menunjukkan mereka menyalahkan wanita dalam kes gangguan seksual.

“Jika kita boleh mengaku kita bersikap terbuka kepada kebebasan mendedahkan aurat, semestinya kita perlu bersikap terbuka juga dengan hak menutup aurat yang diminta oleh majoriti wanita Muslim di negara ini,” kata Siti Zailah Mohd Yusoff, ketua Muslimat PAS.

Dalam sidang media itu, Siti Zailah merujuk kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan juga wakil rakyat Batu Kawan, Kasthuri Patto dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Siti Zailah tidak bersetuju kerana Kasthuri antara lain membangkitkan ayat dalam al-Quran supaya orang lelaki menundukkan pandangan daripada melihat kaum wanita.

Kasthuri juga menyebut, golongan wanita yang menutup aurat juga menjadi mangsa gangguan seksual, katanya.

Tambahnya, ini menunjukkan ahli Parlimen berkenaan membuat tafsiran salah dan tidak memahami pandangannya mengenai keperluan kerajaan membentuk dasar tersebut.

“Ia seolah-olah menganggap desakan saya mengenai pemakaian menutup aurat tersebut sebagai menyalahkan golongan wanita dalam isu gangguan seksual adalah satu pandangan yang tersasar.

“Malah, kenyataan Ahli Parlimen Batu Kawan YB Kasthuriraani kemudiannya yang menyebut tentang ayat menundukkan pandangan di dalam al-Quran serta menjelaskan wanita yang menutup aurat juga menjadi mangsa gangguan seksual jelas tidak memahami isu ini secara holistik,” kata Siti Zailah.

Kali terakhir isu melibatkan hak wanita menutup aurat menjadi tumpuan adalah pada Januari lalu apabila kerajaan mendedahkan, 13 daripada 88 hotel di Semenanjung Malaysia melarang pekerja wanita bertudung. – 2 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen