Menteri sahkan program RTM tak perlu tender terbuka


Yasmin Ramlan

Prosedur perolehan program RTM sebelum ini tidak melalui proses tender terbuka dan membolehkan syarikat yang menerima surat niat sebelum perubahan kerajaan meneruskan kerja mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2018.

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengesahkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) diberi pengecualian daripada proses tender terbuka untuk perolehan program.

Beliau juga mengesahkan bahawa pengecualian itu membolehkan syarikat produksi yang telah menerima surat niat meneruskan projek tersebut.

“Jadi saya telah pun (beritahu) kepada (syarikat) produksi perfileman. Kita ada satu pengecualian untuk syarat itu.

“Saya dimaklumkan permohonan itu telah diluluskan dan surat akan dikeluarkan kepada RTM supaya diteruskan dengan projek-projek tersebut,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kontrak itu pada awalnya dibatalkan apabila Pakatan Harapan mengumumkan semua kontrak kerajaan termasuk penerbitan program televisyen dengan RTM perlu dianugerahkan melalui proses tender terbuka.

Gobind bagaimanapun pada 16 Julai lalu berkata beliau meminta Kementerian Kewangan memberi pengecualian kepada 100 syarikat produksi yang sudahpun mendapat surat niat untuk kontrak RTM.

Surat niat untuk 100 penerbit program televisyen itu ditawarkan oleh RTM kepada syarikat penerbitan tempatan semasa pentadbiran Najib Razak melalui proses “pitching” sebagaimana lazimnya, tetapi belum dikeluarkan kontrak.

Ini menyebabkan syarikat produksi menanggung kerugian kerana sudah memulakan proses penerbitan dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri. – 2 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen