DURIAN atau apa?
Itulah persoalan yang bermain dalam kepala masyarakat Orang Asli di pedalaman Gua Musang, Kelantan apabila melihat sebuah dusun buah yang dilengkapi kamera litar tertutup dan dua helipad di atas tanah adat mereka.
Walaupun jauh terperosok di dalam hutan simpan, kira-kira tiga jam perjalanan dari jalan besar, tanah seluar 400 hektar itu ada bekalan elektriknya sendiri manakala bekalan makanan dan minyak dibawa dengan bot melalui Sungai Nenggiri sebelum dipindahkan dengan trak pikap.
Penduduk Kampung Sungai Jadel Baru, Raman Angah berkata kawalan keselamatan di kawasan dusun itu sangat ketat. Satu-satunya jalan masuk ke situ dikawal dan dipantau dengan CCTV, tambah lelaki berumur 62 tahun itu.
“Saya dapat tahu rakaman CCTV itu boleh ditengok sampai di KL, di ibu pejabat syarikat ladang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Saya tak pernah tengok dusun buah macam ini. Kami hairan apa sebenarnya yang mereka tanah. Tidak ada papan tanda apa pun yang menunjukkan siapa tuannya dan siapa yang menguruskannya,” kata Raman, yang kampungnya antara yang terjejas akibat projek itu.
Masyarakat Orang Asli di sanah bertelagah dengan pekerja syarikat dusun itu atas dakwaan projek berkenaan menceroboh tanah adat mereka.
Mereka mendakwa dusun itu memusnahkan kawasan hutan yang selama ini tempat mereka berburu dan mencari makanan. Dusun itu juga dikatakan merosakkan tanah kubur nenek moyang.
Untuk menyekat projek tersebut, lebih 200 Orang Asli dari enam kampung berkubu dengan sekatan di jalan masuk ke dusun itu. Ini menimbulkan ketegangan antara penduduk kampung dengan pekerja syarikat.
Beberapa hari lepas, sekumpulan individu yang didakwa ada hubungan dengan syarikat berkenaan bertindak menyekat satu-satunya jalan masuk ke perkampungan Orang Asli dan dusun itu, menyebabkan hubungan kini terputus.
Sekatan oleh pekerja dusun itu adalah sebagai tindak balas terhadap sekatan yang dibuat oleh Orang Asli. Sekatan itu bagaimanapun dihentikan kelmarin, 31 Julai selepas aktivis daripada masyarakat Orang Asli membuat laporan polis.
Sudah terlambat
Menurut Nur Mohd Syafiq Dendi, seorang aktivis Orang Asli, hutan tanah dusun itu ditebang dan dibersihkan sejak 2010. Mereka sudah membantah kepada kerajaan negeri Kelantan pada ketika itu tetapi tidak diendahkan.
Pada 2016, masyarakat Orang Asli yang berjumlah 3,000 orang itu membuat sekatan jalan tetapi dirobohkan oleh pihak berkuasa. Aktivis seperti Dendi ditangkap tetapi kemudian dibebaskan.
Kerja-kerja dusun itu bermula setahun kemudian. Pada Februari 2018, masyarakat Orang Asli itu sekali lagi berkubu dengan sekatan jalan yang masih ada sampai sekarang.
Dendi percaya ketegangan terbaru meletus kerana sekatan itu menjejaskan operasi ladang berkenaan.
Tinjauan The Malaysian Insight mendapati ladang itu mengunjur meliputi empat bukit kecil yang sudah ditarah dan dibuat jalan.
Puncak dua bukit kecil itu diratakan untuk tempat mendarat helikopter.
Menurut Dendi, beliau pernah nampak helikopter berwarna hitam membawa orang kenamaan mendarat di kawasan ladang itu.
Semasa tinjauan The Malaysian Insight, motosikal dan pekerja boleh dilihat dari jauh menguruskan anak pokok durian, yang dipercayai penduduk kampung dari jenis Musang King.
Sebuah jentolak juga kelihatan sedang meratakan tanah dan meluaskan dusun.
“Sejak sekatan di jalan masuk, mereka bawa makanan ikut sungai dan angkut dengan pikap. Ada kem pekerja asing di sana tetapi mereka tidak berani keluar.”
Dusun itu tidak dapat dihampiri kerana jalan masuknya sudah disekat.
“Mereka ada hantar orang untuk menakut-nakutkan kami. Tetapi semasa mulakan projek mereka tidak berunding pun dengan kami.
“Baru sekarang ini hendak jumpa. Sudah terlambat. Kami tidak akan berundur. Kami akan terus halang projek ini,” kata Dendi. – 2 Ogos, 2018.
Komen