Ketua KWSP bakal terajui Khazanah


The Malaysian Insight

CEO KWSP Shahril Ridza Ridzuan dilaporkan akan dilantik menggantikan Azman Mokhtar untuk menerajui Khazanah Nasional. Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2018.

SHAHRIL Ridza Ridzuan akan dilantik menjadi pengarah urusan Khazanah Nasional Berhad yang baharu selepas lima tahun cemerlang menjadi ketua pegawai eksekutif dana pesaraaan negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF), kata sumber.

Putrajaya dijangka menamakan Shahril minggu ini untuk menguruskan dana pelaburan strategik yang diketuai Azman Mokhtar selama 14 tahun sehingga Selasa lalu. Azman dan lapan ahli lembaga pengarah Khazanah sebelum ini menghantar surat letak jawatan tanpa tarikh kepada pemegang saham terbesar Khazanah, Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) pada 24 Julai.

“Shahril akan dapat kerja atasan Khazanah,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Satu lagi sumber lain mengesahkan keputusan itu paling awal akan diumumkan hari ini.

Shahril,48, adalah pilihan luar untuk jawatan tertinggi yang melapor kepada lembaga pengarah Khazanah dipengerusikan Perdana Menteri sekarang, Dr Mahathir Mohamad, yang memegang jawatan itu selepas peletakan jawatan lembaga pengarah dana itu diterima.

Media Malaysia melaporkan beberapa nama sebagai bakal pengganti Azman termasuklah Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) Charon Mokhzani dan Ketua Pegawai Eksekutif Deutsche Bank (Malaysia) Yusof Annuar Yaacob. 

Dua lagi nama yang disebut-sebut adalah bekas ketua eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Berhad Mohd Zafer Mohd Hashim dan Ketua Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Raja Shahreen Raja Othman.

KWSP di bawah teraju Shahril menyaksikan pemulangan dividen kukuh kepada pencarum yang meningkat saban tahun sejak beliau menguruskannya. Kadar dividen 6.9% diumumkan tahun lepas adalah yang tertinggi sejak 1996 apabila KWSP membayar dividen sebanyak 7.7%.

Beliau sebelum itu adalah timbalan CEO (pelaburan) KWSP daripada Disember 2009 dan dilantik jadi CEO pada April 2013. Antara 2009 dan tahun lepas, dividen diumumkan KWSP meningkat kecuali pada 2015 dan 2016 apabila pasaran saham negara jatuh.

Shahril, seorang peguam, berkhidmat sebagai pengarah urusan kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) daripada 1 September 2003 sehingga 1 Disember 2009 sebelum menyertai KWSP.

Beliau berkhidmat di Pengurusan Danaharta Nasional Berhad pada 1998 hingga 1999 dan merupakan bekas pengarah bukan eksekutif bebas Felda Global Ventures Holdings Berhad daripada 18 Januari 2012 hingga 26 Disember 2013. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah eksekutif SSR Associates Sdn Bhd pada 1999 hingga Ogos 2001.

Peranan Shahril di Khazanah adalah menyelia dana kedaulatan negara itu kembali kepada matlamat asalnya untuk memiliki dan melindungi aset negara bagi pihak rakyat Malaysia seperti mana disebut Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali yang juga ahli lembaga pengarah Khazanah.

Azmin, Hassan Merican, bekas timbalan gabenor Bank Negara Dr Sukhdave Singh dan bekas pengarah eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) Goh Ching Yin dinamakan sebagai ahli lembaga pengarah Khazanah Jumaat lepas.

Mereka menggantikan Azman, Md Nor Md Yusof, Mohamed Azman Yahya, Mohammed Azlan Hashim, Raja Arshad Raja Uda, Andrew Sheng Len Tao, Nazir Abdul Razak, Nirmala Menon dan Yeo Kar Peng.

Secara tradisinya, lembaga pengarah Khazanah dipengerusikan perdana menteri. Menteri kewangan dan ketua setiausaha perbendaharaan pula dilantik sebagai ahli.

Bekas perdana menteri Najib Razak, bekas menteri kewangan II Johari Ghani dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Siregar Abdullah meletak jawatan pada 31 Mei selepas Barisan Nasional (BN) kalah pilihan raya 9 Mei.

Pada 13 Julai lalu, The Malaysian Insight melaporkan yang Khazanah akan mendapat ketua baharu selepas kenyataan Dr Mahathir minggu sebelum itu yang mencadangkan dana urus harta negara itu akan diberikan hala tuju dan kepimpinan baharu.

Laman sesawang Khazanah menyatakan ia memegang dan menguruskan aset komersial dimilik kerajaan dan melakukan pelaburan strategic bagi pihak negara dan mempunyai kepentingan di lebih 100 syarikat dalam pelbagai sektor seperti tenaga, penerbangan, kesihatan dan kewangan.

Setakat Disember 2017, Khazanah mempunyai nilaii aset boleh tunai RM157.2 bilion sementara nilai bersih mencapai rekod tertinggi sebanyak RM115.6 bilion. – 2 Ogos, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen