DR Mahathir Mohamad perlu mengimbau kembali sokongan yang diberikan ahli parti yang membolehkannya mentadbir Malaysia selama 22 tahun dan tidak cuba menghancurkannya, kata pemimpin Umno Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir hari ini.
Musa yang merupakan ketua Umno Bukit Mertajam berkata Dr Mahathir juga menerima sokongan ketika memecat bekas perdana menterinya Anwar Ibrahim.
“Kesetiaan kami kepada pemimpin. Parti ialah rumah kami.
“Parti pecat Anwar, dan Dr Mahathir terima sokongan kami kerana kesetiaan kami kepada presiden.
“
Katanya sikap Dr Mahathir hanya menunjukkan yang lelaki itu tiada prinsip.
“Dia marahkan seorang dan mahu bakar semua perkara. Jika Umno hancur, ke mana orang Melayu akan pergi?”
Musa memberitahu Dr Mahathir supaya berhenti meminta ahli Umno berpaling tadah.
Bendaharai Umno Salleh Said Keruak pula mengatakan politik Dr Mahathir bersifat peribadi.
“Dia marah kepada seorang dan mahu singkirkan orang itu. PKR wujud sebab dia.
“Anwar wujudkan PKR selepas ditendang keluar daripada kerajaan dan Umno.”
Katanya ahli parti perlu terus setia kepada pemimpin mereka walaupun tidak bersetuju dengan pandangan pemimpin.
“Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, tetapi tetap setia kepada parti, kepada pemimpin.” – 23 Julai, 2017.
Komen