Haramkan seks bawah umur tanpa pengecualian, kata aktivis


Bede Hong

Perkahwinan kanak-kanak adalah isu global. Di Malaysia, ia hanya boleh dihapuskan dengan pindaan undang-undang sedia ada menjadikan hubungan seks dengan kanak-kanak satu jenayah walaupun dalam perkahwinan. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2018.

MALAYSIA perlu meminda akta kesalahan seksual sedia ada untuk menjadikan hubungan seks dengan kanak-kanak satu jenayah tanpa pengecualian, kata aktivis hak kanak-kanak yang berpandangan menaikkan had umur kahwin tidak mencukupi.

Dr Hartini Zainudin, aktivis hak kanak-kanak dan pengasas bersama Yayasan Chow Kit berkata selagi mana pegawai agama dan pemimpin politik diberikan kuasa meluluskan perkahwinan kanak-kanak, kebajikan golongan itu tidak akan dilindungi.

Katanya, tindakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk menaikkan umur minimum berkahwin untuk wanita Islam kepada 18 tahun berbanding 16 sebelum ini merupakan langkah tepat tetapi masih tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah perkahwinan bawah umur.

“Langkah pertama yang baik tetapi langkah itu tidak menyelesaikan isu perkahwinan kanak-kanak. Saya sangat kecewa tidak ada keputusan konkrit yang dibuat,” kata Hartini kepada The Malaysian Insight.

“Apa sahaja yang bukan larangan sepenuhnya tidak mencukupi. Pihak berkuasa agama dan ketua menteri masih mempunyai kuasa untuk membenarkan perkahwinan kanak-kanak,” katanya.

Katanya, Akta Kesalahan Seksual atau Kanun Keseksaan perlu dipinda untuk menghalang hubungan seks antara orang dewasa dan kanak-kanak dalam semua situasi termasuklah perkahwinan.

Tindakan di peringkat persekutuan itu akan memaksa semua kerajaan negeri mengikutnya, tambahnya lagi. – 1 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen