Mesyuarat Umno Kepala Batas kecam Dr Mahathir, puji Pak Lah


Looi Sue-Chern

Khairy Jamaluddin merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kepala Batas hari ini, disebelahnya ialah Ketua Bahagian Umno Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 23 Julai, 2017.

APABILA Bahagian Umno Kepala Batas memulakan mesyuarat tahunan perwakilannya pagi ini di Pulau Pinang, pujian mula kedengaran yang ditujukan kepada bekas ketuanya, Abdullah Badawi dan pada masa yang sama serangan serta kecaman turut dilaungkan dituju kepada bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata Abdullah yang juga berdepan onak duri sepanjang berada dalam Umno, mempunyai kekuatan untuk bangkit kembali selepas gagal tanpa meninggalkan parti itu.

“Kita tahu yang Abdullah kalah dalam politik Umno sekali, tetapi beliau bekerja kuat dan ikhlas sehingga menjadi presiden parti. Kekuatan dalamannya yang menjadikannya pemimpin yang hebat, walaupun berdepan dengan semua kecaman dan serangan.

“Hari ini, dia kekal menjadi negarawan yang dihormati. Di mana sahaja saya pergi, orang bertanyakan tentang beliau. Semua yang saya jumpa dalam Umno dan parti lain pun berkata yang beliau (Abdullah) ialah negarawan terbaik yang kita ada sekarang,” kata menteri belia dan sukan itu yang juga merupakan menantu Abdullah.

Abdullah yang lebih mesra dengan gelaran Pak Lah, ialah ahli Parlimen Kepala Batas daripada 1978 hingga 2013, dan menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri pada 2003 sebelum meletak jawatan pada 2009 untuk memberi laluan kepada Najib.

Sepanjang Pak Lah menjadi perdana menteri, beliau menjadi sasaran serangan berterusan Dr Mahathir yang kini menjadi pemimpin utama pembangkang dalam usaha menyingkirkan Najib dari Putrajaya.

Khairy berkata dia pernah bertanya Pak Lah mengapa beliau tidak meninggalkan Umno dan menyertai Semangat 46 ketika ia ditubuhkan pada 1988 oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan sekumpulan penyokong kuatnya daripada Kumpulan B yang sebelum itu mencabar Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri dan presiden parti ketika itu.

Pak Lah adalah penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri Musa Hitam yang menyokong Kumpulan B, dan kerana sokongan itu Pak Lah dipecat daripada jawatannya sebagai menteri pertahanan.

“Beliau pilih untuk terus bersama Umno. Beliau beritahu saya yang Umno segala-galanya untuknya, dan dalam hatinya (hanya ada Umno). Baginya, apa yang lebih penting ialah kepentingan orang Melayu.

“Kesetiaan Pak Lah bukan membuta tuli. Ia datang daripada nilai perjuangan, seperti yang dilihatnya pada datuk moyangnya sendiri, yang merupakan pengasas Umno,” katanya.

Khairy juga memetik ucapan lama Pak Lah apabila mengatakan yang perjuangan politiknya ialah satu ibadah.

“Beliau menjelaskan yang perjuangan kita ialah ibadah, kerana ia membantu orang Melayu, rakyat Malaysia dan membangunkan negara. Katanya itulah kerja kita seperti yang dituntut agama.

“Jiwa Pak Lah penuh ikhlas. Umno ialah platform untuk bantu orang lain, bukan diri sendiri.”

Khairy berkata selepas tsunami politik 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional kehilangan Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah kepada pembangkang, Pak Lah membuat keputusan untuk berundur sebagai perdana menteri dan presiden Umno setahun selepas itu.

“Beliau kata beliau boleh sahaja pertahankan jawatannya. Beliau percaya yang boleh uruskannya, tetapi beliau tahu ada pencabar dan itu akan memecah belahkan Umno.

“Baginya, perpaduan Umno dan Melayu lebih penting; dan beliau lebih rela menyerahkan parti itu yang bersatu kepada Najib. Terima kasih Pak Lah.”

Khairy mengatakan yang beliau mahu bercakap tentang tindakan Pak Lah untuk membuat perbandingan dengan pemimpin lain yang hanya berjuang untuk kepentingan mereka, tanpa peduli apa yang akan berlaku kepada Umno atau orang Melayu.

Beliau mengecam Dr Mahathir yang melayan Umno seperti sebuah hotel, datang dan pergi sesuka hari; dan mengkritik pemimpin PKR Anwar Ibrahim yang dibantu Pak Lah memasuki Umno dan melonjakkan kerjaya politiknya sebagai ahli Parlimen dan menteri kabinet.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kepala Batas Reezal Merican Naina Merican berkata bahagian itu akan menolak apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan Dr Mahathir.

Katanya, Dr Mahathir ialah lelaki paling hipokrit dan menuduhnya memecah belahkan orang Melayu.

“Tidak pernah lagi orang Melayu bergaduh seperti sekarang. Kerja siapa ini?” katanya dan para perwakilan melaungkan nama Dr Mahathir.

Apabila Reezal yang juga merupakan timbalan menteri luar berkata Dr Mahathir adalah pengkhianat, para perwakilan turut bersorak setuju.

Beliau mengingatkan perwakilan apa yang Dr Mahathir lakukan kepada Anwar yang dipecat pada 1998, dan bagaimana kini kedua-dua pemimpin itu bekerjasama dalam Pakatan Harapan.

“Sekarang, beliau kata Anwar perlu dibebaskan. Adakah ini khianat atau tidak?” katanya menambah yang PH penuh dengan percanggahan.

“Ketua umum dan presidennya adalah mangsa pengerusi,” katanya lagi merujuk kepada Anwar yang merupakan ketua umum PH dan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan pengerusi.

Reezal juga menuduh Dr Mahathir cuba memadamkan legasi pemimpin pain, seperti Perdana Menteri Kedua Abdul Razak Hussein dan Pak Lah.

“Beliau sendiri gagal melaksanakan Dasar Ekonomi Baru yang dicadangkan Razak, hanya sibuk kejar bangunan tinggi dan lapangan terbang? Kerana itu saya rasa beliau paling hipokrit.” – 23 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen