Lukisan Zunar dirampas polis Pulau Pinang akan dipulangkan


Looi Sue-Chern

Lukisan Zunar dirampas polis Pulau Pinang pada 2016. Hari ini, polis mengesahkan lukisan itu akan dipulangkan kembali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2018.

SELEPAS perubahan kerajaan di Putrajaya, situasi nampaknya bertambah baik untuk kartunis Zulkifl Anwar Ulhaque yang sebelum ini sentiasa berdepan masalah dengan pihak berkuasa. 

Zulkifli yang lebih dikenali sebagai Zunar melukis kartus satira tentang bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor ketika mereka berkuasa.

Selepas pilihan raya 9 Mei lalu yang menyaksikan Barisan Nasional tersingkir, larangan perjalanan yang dikenakan ke atas kartunis lantang itu dibatalkan.

Isnin lalu pula, sembilan pertuduhan menghasut ke atasnya digugurkan selepas Jabatan Peguam Negara memutuskan tidak meneruskan pendakwaan.

Hari ini, Zunar berkata lukisannya yang dirampas polis Pulau Pinang akan dipulangkan kepadanya.

Terkini: NFA (tiada tindakan lanjut), tapi saman tetap saman! Mendapat khabar dari polis Pulau Pinang sebentar tadi bahawa status siasatan hasutan ke atas saya ialah NFA (No Further Action) dan lukisan2 kartun yang dirampas akan dipulangkan,” tulisnya di akaun Facebooknya.

Beliau merujuk kepada kejadian lukisannya dirampas polis pada November 2016 ketika sedang mengadakan pameran di Komtar sempena Pesta Sastera George Town.

Zunar terpaksa memendekkan tempoh pamerannya selepas dibuka hanya tiga jam susulan diganggu sekumpulan orang yang mendakwa mereka daripada Pemuda Umno Pulau Pinang.

Kumpulan itu mendesak Zunar menurunkan lukisannya yang dakwa mereka menyinggung.

Ketua Umno bahagian Mohd Norhiesam Ismail juga membuat laporan polis terhadap kartunis itu, menuduhnya “menganggu keamanan rakyat Malaysia” melalui lukisannya.

Bertindak atas laporan itu, polis merampas lukisan di pameran tersebut. Zunar juga ditahan dan menghabiskan masa sehari dalam tahanan untuk disiasat di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan kerana menganggu ketenteraman awam sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis.

Zunar memfailkan saman untuk mendapatkan kembali lukisan yang dirampas polis di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur tahun lepas.

“Ya, lukisan boleh diterima balik, tetapi saman tetap saman!” tulisnya lagi di Facebook.

Polis Pulau Pinang mengesahkan mereka akan mengembalikan lukisan itu kembali kepada Zunar.

“Kami akan kembalikan semula 10 lukisan. Kami sedang berurusan dengan peguamnya untuk mengembalikan lukisan itu,” kata polis. – 1 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen