Noh Omar serang Azmin di mesyuarat Umno Hulu Langat


Nabihah Hamid

Noh Omar sebelum ini turut mendakwa Azmin diketepikan dalam partinya sendiri, PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2017.

MENTERI Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menjadi modal utama dalam majlis mesyuarat perwakilan Umno Hulu Langat.

Pengerusi Umno Selangor Noh Omar berkata ahli Parlimen Gombak itu hanya bermain politik dan tidak mengutamakan kebajikan rakyat negeri terkaya Malaysia itu.

“Saya tengok MB Selangor (Azmin) terutamanya kerajaan negeri banyak sandiwara sahaja.

“Contohnya di parlimen Gombak saya periksa sendiri dan turun ada penduduk beritahu saya ahli parlimen tak pernah turun.

“Duit (rizab Selangor) berbilion-bilion tetapi kawasan sendiri pun tak turun,” katanya kepada media selepas mesyuarat perwakilan di Branang, Selangor.

Noh Omar turut kecewa kerana Azmin leka dalam isu kebajikan rakyat terutamanya daripada segi kesihatan sehingga menyebabkan Selangor menjadi negeri tertinggi jumlah kes denggi dilaporkan.

“Yang penting kesihatan, daripada keseluruhan (negeri lain), Selangor rekod denggi tertinggi, kematian tinggi pun Selangor. Yang kedua kencing tikus, laporan saya tengok Selangor yang tertinggi 6 tahun berturut-turut,” kata menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu lagi.

Ahli Parlimen Tanjung Karang pada ucapan sebelum itu turut mendakwa posisi Azmin sebagai MB tidak diktiraf PKR, partinya sendiri.

Ini kerana katanya pemilihan bekas MB Khalid Ibrahim yang dibuat pada 2008 sekaligus mengetepikan Azmin yang memegang jawatan timbalan presiden PKR.

“Azmin ini, MB atas linangan air mata orang lain. Dulu Selangor apabila dimenangi Pakatan Rakyat, yang jadi menteri besar (ialah) Khalid Ibrahim. Beliau masa itu apa jawatan masa PKR?

“Azmin timbalan presiden tapi tak jadi MB? Apa maknanya? Orang PKR pun, pimpinan PKR pun tidak mengiktiraf kepimpinan Azmin ini,” kata Noh Omar dihadapan kira-kira 500 perwakilan Umno Hulu Langat.

Dalam pada itu Timbalan Presiden Umno Zahid Hamid yang merasmikan mesyuarat tersebut turut mengajak perwakilan bersama-sama membantu merampas kembali Selangor.

Katanya, kini merupakan waktu kritikal kerana pilihan raya umum semakin dekat dan jentera perlu bersatu demi memastikan kemenangan Umno dan Barisan Nasional.

“Jentera perlu bersatu. Jangan bergaduh. Ketepi perbezaan pendapat dan perbezaan sikap kerana matlamat kita rampas semula Selangor,” kata Zahid yang kecewa BN kalah dua penggal berturut-turut.  – 23 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen