TRANSMISI HIV melalui hubungan seksual sedang meningkat di Malaysia dan seluruh dunia, kata Majlis Aids Malaysia (MAC).
Setiausaha Kehormat MAC Hisham Hussein berkata pada 2016 terdapat 3,397 kes HIV yang baharu didiagnosis dan 83% daripadanya akibat transmisi melalui hubungan seksual.
“Penagih dadah yang menggunakan jarum suntikan sebelum ini penyumbang utama peningkatan transmisi HIV dalam tempoh lima tahun lalu tetapi ia menurun dan hanya membentuk 11% daripada keseluruhan jangkitan.
“Kementerian Kesihatan sedar keadaan ini dan menubuhkan pasukan petugas khas transmisi seksual untuk menangani isu itu,” katanya.
Laporan terkini Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan Malaysia salah satu daripada 10 negara yang secara keseluruhannya, mencatat lebih 95% bagi semua jangkitan baharu HIV di rantau Asia Pasifik.
Beliau berkata pendidikan seks perlu bermula dari sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi kerana kebimbangan berkaitan hubungan seks remaja dan kehamilan.
Hisham berkata Kementerian Pendidikan memberi sokongan penuh dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tetapi masalah utama ialah guru yang menghadapi masalah bercakap mengenainya secara terbuka, terutama di sekolah kerajaan.
“Guru rasa susah untuk mengajar pendidikan kesihatan keluarga di sekolah.
“Kami tidak ada masalah pergi ke institusi swasta dan bercakap mengenainya, mereka mengalu-alukan kami dengan tangan terbuka.
“Kami faham sensitiviti itu tetapi institusi kerajaan perlu mula lebih terbuka mengenainya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Berhubung laporan PBB yang hanya 39% daripada 89% rakyat Malaysia disahkan positif HIV mendapat akses kepada rawatan, Hisham berkata MAC dan kerajaan cuba sebaik mungkin menyediakan rawatan untuk pesakit.
“Kami ada program dengan Kementerian Kesihatan yang memfokuskan pada ujian, pematuhan dan pendidik rakan sebaya.
“Kami cuba dapatkan sebanyak mungkin orang untuk menjalani ujian HIV dan jika mereka positif, perubatan akan diberi secara percuma di semua hospital kerajaan,” katanya, menambah Malaysia negara pertama di rantau ini yang berbuat demikian.
Beliau berkata pesakit perlu mengambil ubat secara konsisten bagi memastikan virus itu tidak membina ketahanan terhadap ubat berkenaan.
“Bagi pendidik rakan sebaya pula, kami cuba membantu transgender, gay atau pekerja seks untuk membantu komuniti mereka sendiri kerana mereka lebih kenal.
“Daripada perspektif NGO, kami mahu semua orang dapat rawatan demi kebaikan semua. Rakan kerjasama kami juga terlatih dan kami percaya Kementerian Kesihatan hari ini semakin baik,” katanya.
Beliau berkata isu wanita yang melahirkan anak luar nikah juga perlu ditangani segera kerana mereka cuba cenderung dijangkiti HIV. – 23 Julai, 2017.
Komen