Maszlee tak tahu memo arah universiti, sekolah henti langgan Utusan


Yasmin Ramlan

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata beliau masih tidak menerima maklumat mengenai memo kementerian yang mengarahkan institusi pendidikan bawah kementerian berhenti melanggan akhbar pro Umno, Utusan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2018.

MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai memo dari kementeriannya mengarahkan universiti dan sekolah menghentikan langganan akhbar mesra Umno, Utusan Malaysia.

Ahli Simpang Renggam tersebut itu bagaimanapun menambah yang Kementerian Pendidikan sedang mengamalkan langkah berjimat-cermat.

“Saya belum dapat info (mengenai memo), biar saya semak dulu.

“Saya kena tanya Wan Saiful Wan Jan sebab sekarang kita dalam langkah berjimat-cermat. Surat khabar pun boleh baca online. 

“Segala langkah yang boleh menjimatkan taxpayer money kita akan sokong,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Namun, beliau mengelak untuk menjawab apabila ditanya sama ada akhbar lain akan berdepan nasib sama.

Terdahulu hari ini, satu memo Kementerian Pendidikan mengarahkan sekolah, universiti, kolej dan institusi lain di bawah bidang kuasanya berhenti melanggan akhbar yang sedang mengalami kerugian itu tular. 

Memo berhubung perkara itu dikeluarkan melalui Wan Saiful Wan Jan yang merupakan penasihat khas kepada Maszlee.

Memo bertarikh 18 Julai itu ditujukan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia Mohd Ghazali Abas. – 1 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen