AHLI Parlimen Pakatan Harapan menuntut penjelasan Putrajaya mengenai tindakan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemerhati antarabangsa dalam pilihan raya umum Kemboja baru-baru ini.
Menurut Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, Malaysia sebagai anggota Asean Parliamentarians for Human Rights (APHR) tidak sewajarnya terlibat memandangkan kerajaan Hun Sen dilaporkan mengatur beberapa kumpulan pemantau domestik dan antarabangsa untuk menyokong pilihan raya tidak adil tersebut.
“Pilihan raya ini dikutuk oleh Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat sebagai tidak bebas, tidak adil, palsu dan tidak demokratik,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Dua hari lalu media Singapura Channel News Asia melaporkan pengawai SPR, Md Yusop Mansor menyifatkan pilihan raya itu sebagai “sangat telus, demokratik dan boleh dipercayai.”
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang turut mengkritik tindakan itu menggesa Putrajaya menjelaskan sama ada penglibatan Yusop itu di atas kapasiti individu atau mewakili kerajaan Malaysia.
Mereka juga mempersoalkan sama ada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu akan mengambil sebarang tindakan terhadap Yusop.
“Kami ingin mengingatkan kerajaan supaya segera memperbaharui SPR untuk memastikan semua ahli SPR benar-benar komited kepada pilihan raya yang terbuka, bebas dan adil di Malaysia,” katanya Wong.
Ini memandangkan negara akan mengadakan pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis dan Balakong tidak lama lagi.
“SPR mesti membuktikan keoada rakyat ia sebuah institusi yang telah direformasi dan boleh dipercayai.”
Menurutnya, dasar tidak campur tangan juga bermakna negara tidak boleh menghantar pemerhati untuk menyokong pilihan raya yang jelas sekali tidak demokratik dan adil.
Kesatuan Eropah menuduh pilihan raya Kemboja tidak mempunyai kredibiliti dan tidak menggambarkan kehendak rakyat.
Ini kerana undi pada Ahad lalu tidak mempunyai pembangkang serius sejurus selepas Hun Sen menyokong tindakan keras terhadap pembangkang tahun lalu.
Pada masa sama, laman berita bebas turut disekat selama 48 jam menjelang proses pilihan raya bagi menghalang rakyat mengakses bahan selain saluran media pro-kerajaan. – 1 Ogos, 2018.
Komen