PAS menyifatkan sokongannya terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis sebagai tiada pilihan lain yang terbaik.
Ahli Majlis Syura Ulama PAS Pusat Mohd Khairuddin Aman Razali berkata meskipun menafikan mempunyai sebarang kerjasama politik dengan Umno, sokongan itu dibuat memandangkan PAS fokus dengan objektifnya menolak Pakatan Harapan (PH).
“Sebab kita tak boleh undi PH. Kalau tak undi PH nak undi siapa lagi?,” katanya itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Pemuda PAS Kota Raja semalam mempersoalkan perjalanan program parti itu pada Sabtu lalu yang dijadikan sebagai platform untuk pemimpinnya menyeru pengundi parti terbabit memenangkan calon BN, Lokman Noor Adam PRK pada Sabtu ini.
Timbalan ketuanya Mohd Najib Arshad berkata inti pati ucapan secara terbuka dibuat oleh beberapa pimpinan parti di peringkat Selangor dan pusat itu dilihat tidak selari dengan kenyataan rasmi Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada 22 Julai lalui.
“Kita tidak ada sebarang kerjasama politik dengan Umno kerana sebarang kerjasama perlu keputusan dasar di peringkat Majlis Syura dan Muktamar.
“Cuma kita ada hubungan (dengan Umno) dari sudut strategik untuk PRK Sungai Kandis, kita hendak sampaikan mesej PH ditolak rakyat kerana janji tak ditunaikan. Sebab itu fokus kita menolak PH,” katanya.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu sebelum ini dilaporkan meminta pengundi PAS di Sungai Kandis untuk memilih Lokman pada PRK itu selepas mendakwa kerajaan PH tidak menegakkan serta menjaga agama Islam.
Dalam kenyataan sebelum ini pula, Takiyuddin menasihati ahli PAS yang akan memilih pada PRK itu supaya mengundi demi kepentingan Islam, Melayu serta masa depan negara dan meminta mereka membuat pertimbangan itu dengan mengambil kira sikap PAS terhadap kerajaan PH. – 1 Ogos, 2018.
Komen