Pemilihan PKR: Kaduk mabuk naik junjung


Zainal Rashid Ahmad

BAGI penganalisis, banyak benda boleh ditulis atau dispekulasikan berhubung pertembungan Azmin Ali dan Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR, bulan depan. Ia memang pertembungan “clash of the titans” antara dua gergasi PKR ini.

Azmin sekarang timbalan presiden PKR. Bekas menteri besar Selangor sejak 2008. Sebulan selepas PRU14, Azmin dilantik menteri hal ehwal ekonomi oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pelantikan inilah dikatakan punca utama Rafizi melancarkan serangan demokrasi melalui proses pemilihan parti. Azmin kini dilihat sebagai anak didik Dr Mahathir. Azmin, di mata kem Rafizi, bukan lagi pengikut setia Anwar Ibrahim yang bakal menjadi PM.

Azmin dianggap orang Anwar selama 20 tahun sejak era reformasi. Sejak 1998 hingga 2018, ketika generasi muda pengagum Anwar mulai menghilang seorang demi seorang, Azmin dilihat kekal setia. Malah, ketika dua kali Anwar dipenjarakan, Azmin tetap mentaati bosnya. Azmin tidak bertanding kerusi presiden PKR dan dikekalkan milik Dr Wan Azizah Ismail.

Azmin kekal di kerusi nombor dua parti sejak 2010 sebagai tanda kepatuhan pada Anwar. Kesetiaan yang sangat simbolis. Azmin berjuang menyokong prinsip mengekalkan kedudukan Wan Azizah sebagai presiden ketika Anwar di penjara. Ini sikap solidariti Azmin kepada Anwar dan keluarganya.

Sailang

Cuma kini, gerakan Rafizi dilihat sebagai Ops Sailang Azmin.

Walaupun beralasan demokrasi, menekan Azmin secara politik dengan mencabar kedudukannya sebagai timbalan presiden adalah tindakan mempolitikkan demokrasi.

Dalam edah 100 hari pertama ini, rakyat dan pengundi memilih untuk fokus bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam melaksanakan agenda pembaharuan. Bukan momokan, PH sepanjang kempennya menjanjikan demikian. Sekarang, PRU14 sudah berlalu, pengundi memilih untuk membantu usaha melaksanakan era Malaysia baharu.

Ketika Janji 100 Hari dibuat dan dilancarkan dalam kempen PRU14 April lalu, tidak ada seorang pun berketik soal pertandingan sengit dalam pemilihan PKR. Apalagi, PKR komponen terbesar PH dengan penguasaan 49 daripada 122 kerusi. Malah, dalam edah 100 hari ini, pengundi masih terdengar suara-suara kempen melaksanakan pembaharuan.

Namun, menjelang 100 hari, cuaca tiba-tiba jadi panas. Apa tidaknya, PKR bergoncang dengan pengumuman Rafizi bertanding kerusi nombor dua parti. Azmin belum bersuara, tetapi mustahil akan bertanding menentang Anwar untuk jawatan presiden.

Secara matematik, Rafizi pasti akan bertanding dua penjuru; berlaga dengan Azmin. Malah, Rafizi nampak sangat agresif bersama pasukannya.

Rafizi Ramli pada minggu lalu mengumumkan barisan pasukannya yang akan turut bertanding pada pemilihan PKR kali ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2018.

Bala tenteranya bukan calang. Antaranya Nurul Izzah Anwar (ahli Parlimen Permatang Pauh), Johari Abdul (ahli Parlimen Sungai Petani), William Leong (ahli Parlimen Selayang), S Kesavan (ahli Parlimen Sungai Siput), Fuziah Salleh (ahli Parlimen Kuantan), Rodziah Ismail (Adun Batu Tiga), Akmal Nasir (ahli Parlimen Johor Bahru) dan Raymond Ahuar (ketua Pemuda PKR Sabah).

Apa yang hebatnya; Azmin kekal cool. Kelihatan tenang dan “lone ranger”. Malah, tidak menyambut kokokan kem Rafizi.

Azmin relaks saja ketika isu pemilihan PKR dibualkan. Azmin lebih memperlihatkan dirinya sibuk di Parlimen melaksanakan tugas-tugas berdepan soalan-soalan pembangkang sebagai menteri hal ehwal ekonomi.

Kenapa Rafizi jadi bersungguh-sungguh benar? Mengapa Rafizi mengaum garang dan melihat Azmin sekadar seekor anak kijang?

Orang tidak cerdik dengan akal sejengkal pun pasti dapat menduga.

Sebagai naib presiden tanpa kerusi Parlimen, tanpa jawatan dalam kerajaan dan banyak masa lapang kerana PRU15 lambat lagi, Rafizi agresif semata-mata mahu memusnahkan kedudukan Azmin. Terutama merit untuk kekal dalam jawatan kanan dalam Kabinet sekiranya tewas.

Popular

Rafizi dan pasukannya melihat Azmin sebagai nombor dua yang kini berbahaya. Bukan aneh, Azmin memang jelas nampak popular di mata Dr Mahathir. Malah, bukan susah juga untuk menduga, kedudukan dalam kerajaan membolehkan Azmin secara strategik, membina empayar bergelar PM pada satu hari.

Anwar selaku penasihat umum PKR, kini bebas berpolitik tetapi tanpa jawatan rasmi. Justeru, Azmin kini dilihat tokoh kanan PKR dalam kerajaan. Walaupun berjawatan nombor dua dalam parti, kedudukan sebagai menteri hal ehwal ekonomi sangat kanan dalam Kabinet.

Kita tidak perkecilkan Wan Azizah – dia presiden PKR dan TPM. Cuma realitinya, apa saja kedudukan Wan Azizah, dia tetap dilihat sebagai proksi Anwar.

Azmin barangkali jadi pilihan Dr Mahathir kerana pengalaman mengetuai kerajaan negeri. Sama seperti status Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang dilantik ke jawatan kanan Kabinet sebagai menteri kewangan.

Prestasi Azmin Ali di Dewan Rakyat dikatakan sangat memuaskan dengan ucapannya sentiasa bijak, jawapannya pula selalu tajam tapi berfakta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2018.

Cuma, sama ada asas realiti atau didorong rasa cemburu, kedudukan Azmin boleh diragui. Dr Mahathir boleh saja dicurigai sedang menyediakan Azmin untuk terus mengukuhkan pengaruh. Namun, logik pengalaman lebih terpakai kerana hanya Azmin dan Guan Eng yang berpengalaman. Selain Muhyiddin Yassin yang dilantik menteri dalam negeri atas merit sebagai TPM ketika bersama BN.

Azmin lulus ujian pertama di peringkat persekutuan. Prestasi Azmin di Dewan Rakyat sangat memuaskan. Ucapannya sentiasa bijak, jawapannya pula selalu tajam tapi berfakta.

Azmin sebagai menteri ekonomi kini bintang pop Kabinet. Popularitinya sudah menenggelamkan Guan Eng berikutan menurunnya pendedahan skandal dan kes-kes siri penyelewengan lampau kerajaan BN. Malah, secara persepsi – Azmin kini menteri paling top dalam carta selepas PM.

Nak mudahkan cerita, melalui demokrasi parti, Azmin sedang berdepan proses dibunuh oleh partinya. Alasan PKR memerlukan demokrasi demi mengekalkan reformasi hanyalah momokan.

Azmin sebenarnya sedang dicurigai sebagai “pilihan Dr Mahathir”. Sentimen itulah asas utama pertembungan “Clash of The Titans” terjadi. Justeru, atas dasar rasa curiga serta bimbang Anwar akan tenggelam, Rafizi dan pasukannya melancarkan serangan demokrasi.

Rating Azmin untuk terus popular dalam dua atau tiga tahun ini, memerlukan Rafizi bertindak sebagai calon assasin. Rafizi kini sniper untuk menamatkan populariti Azmin melalui usaha menyingkirkannya sebagai timbalan presiden PKR.

Reputasi

Di luar kancah politik PKR, penyokong pembaharuan sedang meraikan 100 hari kerajaan PH. Memang sudah dijangka 10 janji manifesto tidak mungkin dapat dilaksanakan secepat tiga atau empat bulan. Namun, rakyat nampaknya faham dan menyedari, kerajaan PH memerlukan lebih masa.

Cuma, isu pemilihan PKR mengganggu proses rakyat menanti perjalanan 100 hari. Dr Mahathir sudah menyatakan awal-awal, 10 janji manifesto memerlukan lebih masa kerana kerajaan berdepan dengan banyak masalah pengurusan kerajaan lampau.

Kalau dalam tempoh itu, wujud pula politiking melampau dalam parti komponen PH, ia menjadikan kita terasa letih. Malah, agak menyampah untuk melihat “kaduk berebut mencari bakul untuk naik ke junjung di atas kepala”.

Tidak apalah. Orang macam Rafizi dan sekutunya barangkali hanya orang biasa dalam parti. Tidak terpikul beban mengurus negara. Jadi, kecanduan politik membolehkan musim pemilihan PKR dijadikan gelanggang melampiaskan ketagihan berpolitik.

Apa pun kena beringat! Rakyat sentiasa melihat dan menilai.

Reputasi kerajaan PH bukan setakat soal Dr Mahathir dan Wan Azizah. Atau soal Azmin dan Guan Eng. Peralihan mandat kerajaan membabitkan kepercayaan rakyat kepada empat parti utama PH.

Kalau terlalu banyak politik sailang atau budaya cah keting, rakyat akan berasa letih. Jangan sampai rakyat berfikir: “Semuanya… wal hasil balik asal!” – 1 Ogos, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Penulisan yang baik sekali. Pergolakan dalaman PKR akan memusnahkan Pakatan Harapan. Persoalan yang mungkin lebih besar adalah : " Apa kah Anwar akan mengecewakan rakyat yang ingin perubahan sekiranya beliau mengambil alih kepimpinan selepas Dr Mahathir ? ".

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh [email protected] · Ulasan

    • setuju pandangan ini.

      Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ahmad pauzi md yusof · Ulasan