DENGAN tangan kanannya tergantung, Anwar Ibrahim masih dapat mengagumkan orang ramai yang berkumpul dalam hujan di Jalan Kebun malam tadi, untuk mendengar ucapannya.
Anwar yang baru pulang Turki selepas pembedahan bahu dan pinggul, berkata Pakatan Harapan (PH) masih belum tersasar daripada perjuangan asalnya, walaupun pelbagai kenyataan kritikan dilemparkan terhadapnya sejak akhir-akhir ini.
“Sesebuah negara jadi hebat bukan kerana pertumbuhan yang direkodkan, bangunan pencakar langit atau jambatan terpanjangnya.
“Sebuah negara hanya hebat jika ia peduli terhadap rakyatnya yang lemah dan miskin. Inilah perbezaan antara kami dan mereka (Barisan Nasional),” katanya.
Anwar, yang bakal berusia 71 tahun pada 10 Ogos depan, mengakui kenyataan beberapa menteri PH baru-baru ini agak tidak bersesuaian, tetapi katanya, itu tidak mengubah keutamaan PH dalam kerajaan.
“Ia tidak mengubah hakikat bahawa Dr Mahathir (Mohamad) dan Kabinet tidak menyimpang daripada prinsip, kenapa kerajaan ini dipilih,” katanya yang berucap kali pertama dalam kempen pilihan raya kecil sejak pembebasannya pada 16 Mei lalu.
Ketua umum PKR itu berkata demikian sebagai mengulas kempen BN yang berkata kerajaan baharu mengetepikan hak Melayu dan Islam.
Dalam kempen di Sg Kandis, calon BN Lokman Adam juga mendakwa PH mengetepikan raja-raja dan bahasa Melayu.
Anwar berkata beliau kecewa apabila membaca beberapa kenyataan dibuat beberapa menteri baru-baru ini tetapi beliau berjanji PH komited untuk menegakkan Islam sebagai agama persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Semua orang patut menguasai bahasa Melayu kerana ia bahasa kebangsaan kita tetapi itu tidak bermakna bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil tidak boleh diangkat,” kata Anwar.
“Dan hanya kerana kami komited untuk membantu golongan Cina dan India yang miskin, itu tidak bermakna kami mengetepikan Melayu.”
Anwar berkata pemerintahan 10 tahun PH di Selangor menjadi contoh terbaik tentang dasar yang dibuat oleh gabungan itu.
Pada penghujung ucapannya selama 17 minit itu, Anwar meminta maaf kerana tidak dapat mengangkat tangannya untuk melaungkan slogan popular PKR, “Reformasi” tetapi berkata: “Saya mungkin tidak dapat mengangkat tangan bionik saya lagi tetapi saya ada di sini walau dalam keadaan susah atau sakit.”
Penyandang DUN Sg Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai kerana kanser. PKR meletakkan calonnya Zawawi Ahmad Mughni yang akan menentang Lokman daripada BN dan seorang lagi calon bebas.
PRK Sg Kandis akan diadakan pada 4 Ogos. – 1 Ogos, 2018.
Komen