PKR melonggarkan syarat pemilihan parti bagi sesi pimpinan 2018 hingga 2021 dengan membenarkan ahli yang tidak sampai setahun menyertai parti bertanding dengan kelulusan khas daripada Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.
Kelonggaran yang diberikan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan tentang ketelusan kelulusan berkenaan, kata ahli PKR.
Dalam surat kepada ahli-ahli PKR hari ini, Wan Azizah berkata mana-mana ahli yang ingin bertanding tetapi tidak cukup syarat kerana belum sampai setahun jadi ahli boleh memohon kelulusan khas berkenaan daripadanya sebelum 12 tengahari esok.
“Adalah dimaklumkan bahawa saya telah menerima banyak permohonan berkaitan kebenaran untuk bertanding bagi anggota yang kurang daripada setahun menyertai parti.
“Oleh kerana permohonan kali ini terlalu mendadak, justeru itu, saya telah menetapkan semua permohonan perlu sampai kepada saya selewat-lewatnya pada jam 12 tengahari 1 Ogos 2018,” kata Wan Azizah dalam surat itu, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat, Rashid Din mengesahkan kepada The Malaysian Insight surat daripada Wan Azizah itu.
“Surat itu telah diberikan dan siapa yang mahu memohon boleh buat. Parti beri kelonggaran untuk siapa hendak bertanding (tetapi tidak cukup setahun keahlian). Ini bukan pertama kali dibuat (kelonggaran),” katanya.
Tempoh setahun jadi ahli itu ialah disahkan sebagai ahli PKR tidak kurang 12 bulan sebelum 26 Jun 2018, berdasarkan pekeliling yang menggariskan antara lain syarat-syarat pemilihan, yang salinannya turut dilihat oleh The Malaysian Insight.
Peraturan pemilihan menyebut presiden boleh memengecualikan syarat keahlian setahun daripada tarikh daftar pemilih “setelah berbincang dengan biro politik”.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution baru-baru ini dilaporkan berkata terdapat 300,000 ahli baru mendaftar sejak selepas pilihan raya umum 9 Mei sehingga 26 Jun lalu, menjadikan PKR kini mempunyai keahlian seramai 800,000. Semua mereka layak mengundi.
Beberapa ahli PKR di Kelantan kelmarin mendakwa “ada perancangan sulit” untuk melepaskan beberapa ahli yang tidak cukup syarat supaya layak bertanding pada pemilihan parti September ini, lapor Utusan Online.
Mereka mendakwa ahli yang tidak sampai 12 bulan menyertai parti itu sudah mendapat surat izin bertanding dari pejabat presiden.
“Apakah surat kebenaran bertanding seperti yang didakwa itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat biro politik PKR?
“Kami sebagai ahli akar umbi merasakan ada usaha sabotaj dalam pemilihan kali ini,” katanya.
Mereka mendakwa antara yang mendapat surat kelulusan bertanding sebelum ini ialah setiausaha politik kepada seorang menteri, yang tidak sampai setahun jadi ahli PKR.
PKR menetapkan 5 Ogos ini sebagai hari pencalonan bagi pemilihan jawatan majlis pimpinan pusat, dianjak daripada tarikh asal 29 Julai untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil Sungai Kandis.
Pemilihan bagi pimpinan MPP serta sayap pemuda dan wanita akan berjalan secara berperingkat mengikut negeri sepanjang empat kali hujung minggu antara 14 September hingga 7 Oktober.
Semua 800,000 ahli PKR yang layak mengundi akan memilih menggunakan sistem pengundian elektronik yang diperkenalkan buat pertama kali, yang disifatkan lebih lancar, menjimatkan masa dan tidak membazir.– 1 Ogos, 2018.
Komen