Azmin tak gentar kehadiran pencabar


Kamles Kumar

TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata beliau tidak berasa terancam dengan kehadiran pencabar yang mahu merebut jawatan yang disandangnya dalam pemilihan parti pada September.

“Saya adalah penyandang. Saya tidak bertanding menentang sesiapa,” kata menteri hal ehwal ekonomi itu kepada pemberita di lobi Parlimen.

Jika ahli Parlimen Gombak itu memilih untuk mempertahankan jawatannya, beliau akan berdepan naib presiden Rafizi Ramli.

Bagaimanapun, Azmin masih enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatan yang disandangnya atau bertanding jawatan presiden, menentang mentornya yang juga merupakan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.

Azmin mengelak daripada mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan apa sejak minggu lepas. Beliau sebelum ini berkata mahu tumpu tugas sebagai ahli Parlimen, dan memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis sebelum mengumumkan pencalonannya.

PRK akan diadakan pada Sabtu ini, sementara pencalonan pemilihan PKR pada Ahad.– 31 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen