Isu pertukaran agama anak tumpuan di Dewan Rakyat esok


Chan Kok Leong

KESUNGGUHAN politik untuk mengakhiri pertelingkahan berbangkit apabila salah seorang pasangan dalam perkahwinan memeluk Islam akan teruji pada persidangan kedua Dewan Rakyat yang akan bermula esok, apabila pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) dijadualkan untuk Bacaan Kedua.

Pindaan kontroversi itu termasuk pertukaran agama anak bawah umur secara unilateral, pembubaran perkahwinan bila salah seorang pasangan memeluk agama Islam dan pengenalan Seksyen 88A yang menyatakan kedua-dua ibu dan bapa perlu bersetuju terhadap pertukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Seksyen 88A juga menyatakan anak akan kekal dalam agama yang diamalkan ibu bapanya ketika perkahwinan sivil didaftarkan dan boleh memilih agamanya sendiri apabila berusia 18 tahun.

Pindaan itu juga termasuk seksyen yang berurusan dengan agihan harta pasangan yang sudah bertukar agama jika berlaku kematian.

Kerajaan pada mulanya mencadangkan untuk membentangkan pindaan 2016 itu pada persidangan sebelum ini dari 6 Mac hingga 6 April tetapi menarik balik RUU pindaan itu pada 5 April, sehari sebelum Dewan Rakyat ditangguhkan.

Ketika ia ditarik balik, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu media kerajaan mahu mendapatkan lebih banyak maklum balas bagi memastikan pindaan itu tidak akan campur tangan dalam mana-mana fatwa sedia ada dan Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan itu mengejutkan konservatif Islam seperti Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mendesak jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyemak semula pindaan itu, sementara Mufti Perak Harussani Zakaria berkata pindaan itu tidak mengikut perlembagaan dan bertentangan dengan undang-undang Islam.

Pindaan itu berlaku selepas timbul masalah membabitkan beberapa perkahwinan sivil di mana salah seorang pasangan memeluk Islam dan mendakwa perkahwinan mereka tidak lagi tertakluk di bawah undang-undang sivil – Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian).

Antara mereka ialah S Deepa di mana keluarganya terpisah tahun lalu apabila Mahkamah Persekutuan memberikan hak jagaan padanya untuk anak perempuannya Sharmila, 11, sementara bekas suaminya N Viran, kini dikenali sebagai Izwan Abdullah mendapat hak jagaan bagi anak lelaki mereka Mithran, 8, atau sekarang namanya ditukar kepada Nabil.

Satu lagi kes membabitkan guru tadika M Indira Gandhi di mana tiga anaknya ditukarkan agama kepada Islam tanpa keizinannya oleh bekas suaminya yang beragama Hindu, K Pathmanathan atau kini dikenali dengan nama Riduan Abdullah.

Dua belas tahun dulu, negara dikejutkan apabila rakyat Malaysia pertama yang berjaya menawan Gunung Everest M Moorthy diisytiharkan sebagai Islam selepas kematiannya.

Dalam satu perbicaraan di Mahkamah Syariah, di mana balunya Kaliammal Sinnasamy tidak dibenarkan memberi keterangan kerana beliau bukan Islam, mahkamah memutuskan Moorthy seorang Muslim dan akan dikebumikan mengikut cara Islam, berdasarkan kepada keterangan bekas rakan sekerjanya.

Hartanya diberikan kepada adiknya kerana Kaliammal bukan beragama Islam dan tidak layak menerimanya. Adik Moorthy bagaimanapun kemudian memindahkan hak terhadap harta itu kepada Kaliammal bersama pencen Moorthy.

RUU 355 kembali

Persidangan lalu menyaksikan sesi Dewan Rakyat paling lama yang berakhir jam 5.05 pagi selepas 20 jam perbahasan dan akan dikenang kerana kali pertama RUU Persendirian dibawa tetapi tidak dibahaskan di Parlimen.

Selepas memberitahu umum yang kerajaan akan membentangkan RUU 355, speaker Pandikar Amin Mulia membenarkan ahli Parlimen Marang iaitu Hadi untuk membentangkan usulnya meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) atau dikenali sebagai RUU 355, pada hari terakhir persidangan.

Bagaimanapun, Pandikar tidak membenarkan usul itu dibahaskan dan menangguhkan sidang Parlimen selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menyokong usul Hadi.

Usul Hadi bertujuan memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah untuk mengenakan hukuman penjara 30 tahun, bukan tiga tahun dan denda RM100,000 berbanding RM5,000 pada masa sekarang. Usul itu juga mendesak hukuman sebat ditambah daripada enam kepada 100.

Pada sesi yang akan berakhir 10 Ogos itu, usul Hadi akan sekali lagi dimasukkan sebagai perkara 10 selepas urusan kerajaan. Hadi, mungkin tidak hadir pada sesi ini kerana masih berehat selepas pembedahan jantung bulan lepas.

Penggubalan perkhidmatan e-hailing

Sementara itu, kerajaan mencadangkan empat RUU lain untuk Bacaan Kedua dan satu undang-undang baharu.

Empat pindaan RUU ialah Akta Keganasan Rumah Tangga, Akta Pengangkutan Darat, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial dan Akta Agensi Pekerjaan Swasta.

RUU baharu ialah Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia.

Dua lagi RUU yang akan dibahaskan pada sesi ini ialah pindaan Akta Pengangkutan Darat dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial.

Pindaan itu yang disegerakan pada sesi Dewan Rakyat lalu bertujuan menggubal perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan Uber dan pengelasan semula kenderaan e-hailing sebagai kenderaan perkhidmatan awam.

Pemilik kenderaan berkenaan akan diarahkan mendapatkan lesen perniagaan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pemandu yang beroperasi tanpa lesen akan didenda hingga RM500,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

Walaupun menjadikan perkhidmatan e-hailing sah di sisi undang-undang sebagai hala tuju yang betul, Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata banyak lagi perlu dibuat.

“Pindaan itu sepatutnya memasukkan tribunal bagi mendengar rayuan pemandu e-hailing yang rasa mereka dilayan secara tidak adil oleh syarikat e-hailing.

“Ada banyak kes ketidakadilan terhadap pemandu dan ini menyebabkan sekatan terhadap peluang pekerjaan bagi mereka yang membeli kereta baharu,” katanya.

Ong berkata kerajaan juga perlu memastikan tahap industri sedia ada bagi pemandu teksi dan pemandu e-hailing dalam bentuk tambang, komisen dan peraturan.

“Apa yang kita tahu, SPAD tidak merancang untuk mengawal tambah ditetapkan syarikat e-hailing dan ini tidak adil bagi perkhidmatan teksi biasa,” katanya.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata pindaan itu akan menyebabkan Grab dan Uber memonopoli situasi itu dan menyebabkan industri teksi terkubur.

“Pindaan itu perlu juga mengambil kira kebajikan pemandu,” kata Liew. – 23 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen