Pekebun durian alih sekatan di kampung Orang Asli 


Sheridan Mahavera

Orang Asli berehat di pondok yang dibina berhampiran sekatan di Chawas, Gua Musang Kelantan. Hari ini penanam durian mengalihkan sekatan mereka dan beredar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2018

SEKATAN laluan ke beberapa perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan oleh sekumpulan individu yang dikaitkan dengan syarikat perladangan dialihkan hari ini namun tidak dapat dipastikan sama ada kekecewaan penduduk kampung sudah berakhir. 

Individu terbabit, yang mendakwa bertindak bagi kumpulan pekebun durian, telah mengalihkan trak dan kenderaan pikap yang diletakkan di laluan antara Gua Musang dan 27 perkampungan berhampiran Pos Simpor. 

Kumpulan itu beredar pagi ini, kata aktivis Orang Asli Gua Musang Mustafa Along dari Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK).

Sekatan itu diletakkan di hadapan sekatan kayu yang dibuat oleh kaum Temiar yang digunakan bagi menghalang pembalak dan syarikat perladangan daripada memasuki hutan rizab. 

Sekatan kenderaan itu adalah sebagai balasan kepada masyarakat Orang Asli kerana masyarakat itu cuba mengelakkan pemusnahan hutan hujan dara yang mereka anggap sebagai talian hayat.

“Saya diberitahu oleh rakan di sekatan Khaleeg kumpulan itu sudah beredar hari ini. Mereka tamatkan sekatan jalan. Ini selepas pemduduk kampung membuat laporan polis terhadap mereka,” kata Mustafa kepada The Malaysian Insight. 

“Namun kami masih berjada dan memerhatikan sekatan kami sekiranya mereka kembali semua,” kata Mustafa yang mengetuai sekata di Cawas. 

Dua hari lalu, kumpulan individu terbabit cuba memasuki tanah yang didakwa milik syarikat perladangan. 

Selepas dihalang oleh sekatan Orang Asli, mereka kemudian meletakkan kenderaan mereka di laluan itu bagi menghalang penduduk kampung daripada keluar masuk ke 27 perkampungan. 

Penduduk kampung dari Pos Simpor, Pos Tohoi dan Pos Gop bergantung kepada laluan itu untuk ke dunia luar. 

Kunpulan individu terbabit turut menahan van yang sepatutnya mengambil pesakit dari Pos Gop dan menghalang guru daripada melalui jalan dari Pos Tohoi ke Gua Musang. 

Peguam Siti Kassim yang mewakili masyarakat itu sebelum ini dalam tulisan di Facebook mendakwa anak guamnya diancam oleh kumpulan individu terbabit. 

Kumpulan penyokong Orang Asli, Center for Orang Asli Concerns (COAC) berkata kumpulan lelaki berkenaan ingin masuk ke tanah yang sudah ditebang untuk pembalakan bagi menanam durian. 

Hari ini, Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan berkata kerajaan Kelantan akan memusnahkan sekatan itu sama ada ia dibuat oleh Orang Asli atau syarikat perladangan. – 31 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen