BESTINET Sdn Bhd, syarikat yang didakwa terlibat dalam skandal pekerja warga Nepal, menafikan tuduhan yang ia terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram atau mengaut keuntungan daripada memproses dokumen imigresen untuk pekerja asing.
Pengarah syarikat V. Rathakrishnan berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu menetapkan caj untuk setiap pekerja, dan kesemua urus niaga dan kutipan diambil kira.
“Bagi (tuduhan) pengubahan wang haram, kerajaan terdahulu bersetuju yang kami boleh mengutip RM100 sebagai yuran kami.
“Agen memasukkannya ke dalam akaun kami dan kami akan sahkan dan hantar resit, dan tidak pernah kutip wang tunai,” kata Rathakrishnan kepada pemberita pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.
“Kami mengeluarkan invois dan semua itu dicatit dalam akaun,” katanya.
Sejak 16 Mei, kerajaan Nepal telah menghalang rakyatnya daripada bekerja di Malaysia kerana kos yang tinggi yang dikaitkan dengan pelepasan keselamatan imigresen (RM105 setiap pekerja), pemeriksaan bio-perubatan (RM100), dan kertas kerja yang berkaitan dengan pusat sehenti yang dikendalikan oleh syarikat swasta Ultra Kirana Sdn Bhd.
Terdahulu, Kulasegaran menyatakan bahawa kerajaan Nepal sedang menjalankan siasatan ke atas aktiviti wang haram yang disyaki dilakukan oleh Bestinet.
Rathakrishnan menegaskan yang mereka tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan agensi pengambilan pekerja.
“Kami tidak terlibat dalam mana-mana agensi pengambilan pekerja di negara sumber atau Malaysia.
“Kami hanya penyedia sistem perubatan,” katanya.
Rathakrishnan berkata mereka bersedia dipanggil pihak berkuasa bagi mengesahkan mana-mana dakwaan mengambil kesempatan terhadap pekerja asing.
“Terdapat banyak tuduhan palsu terhadap Bestinet dan kami bersedia untuk berjumpa menteri (Kulasegaran) dan bekerjasama.
“Ramai yang menghadapi masalah dengan pekerja tidak berdokumen.
“Kami juga boleh mempersembahkan kepada kerajaan platform tunggal (berhubung isu itu),” katanya.
Rathakrishnan juga menafikan yang mereka terlibat dengan mana-mana syarikat lain.
“Kami tidak melakukan monopoli. Kami tidak terlibat dalam syarikat yang menyediakan visa, pusat sehenti dan pelepasan keselamatan imigresen.
“Bestinet hanya terlibat dalam pemeriksaan kesihatan bagi mengenal pasti penyakit dan kami mengenakan bayaran sebanyak RM100,” katanya.
Setakat 30 Jun, pekerja warga Nepal berjumlah 21.67%, atau 378,577 daripada 1,747,154 pekerja asing, kata Kulasegaran di Parlimen.
Mereka dibawa ke negara ini melalui “mekanisme khas” dalam jabatan keselamatan dan ketenteraman awam dalam Kementerian Dalam Negeri.
Peguam Bestinet N. Sivananthan berkata dakwaan pengubahan haram oleh kerajaan Nepal itu tidak benar.
“Menteri (Kulasegaran) mungkin diberi maklumat salah.
“Mereka melakukan pemeriksaan kesihatan dan ia untuk pekerja sebelum mereka datang ke Malaysia.
“Jika ada yang masih melemparkan tuduhan, maka kami telah diarahkan untuk mengambil tindakan jenayah sivil bergantung kepada isu,” katanya.
Sivananthan juga berkata Bestinet tidak terlibat dalam penipuan mana-mana pekerja.
“Apabila pekerja diambil bekerja oleh agen di sana dan apabila mereka datang ke sini, antara itu saya tidak tahu sama ada mereka ditipu atau tidak.
“Mereka (Bestinet) tidak terlibat.”– 31 Julai, 2018.
Komen