PM, Kabinet tidak perlu tahu tentang surat ke CIA, kata peguam


Alfian Z.M. Tahir

Bekas perdana menteri Najib Razak tidak perlu mengetahui berkenaan surat yang dihantar kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) kerana ia perkara operasi rutin, kata peguam yang mewakili pengirim surat tersebut - Hasanah Abdul Hamid, yang merupakan bekas ketua pengarah Organisasi Risikan Luar Malaysia (MEIO).– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2018.

BEKAS perdana menteri Najib Razak tidak perlu mengetahui berkenaan surat yang dihantar kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) kerana ia perkara operasi rutin, kata peguam yang mewakili pengirim surat tersebut - Hasanah Abdul Hamid, yang merupakan bekas ketua pengarah Organisasi Risikan Luar Malaysia (MEIO).

Peguam Shahrudin Ali menjelaskan yang MEIO mempunyai hubungan rapat dengan CIA dan bertukar-tukar maklumat risikan untuk jangka masa panjang berhubung perkara berkaitan keselamatan negara.

“Ada perkara yang PM dan Kabinet tidak perlu tahu dan ada perkara yang mereka tidak dimaklumkan mengenainya,” kata Shaharudin.

“Seperti mengirim surat ini, ia perkara operasi rutin, maka PM tidak perlu tahu mengenainya. Ia hanya rutin biasa dan budaya agensi perisikan.

“Apa yang penting adalah bagaimana surat yang sangat sulit itu boleh bocor kepada orang awam. Surat itu diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan tidak boleh diterbitkan seperti mana-mana surat biasa.”

Shaharudin berkata surat yang dikirim oleh Hasanah diteliti oleh 10 lagi pegawai dari agensi risikan tersebut sebelum ia dihantar pada 4 Mei.

Beliau turut memetik peristiwa konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia pada 1963, apabila agensi risikan Malaysia termasuk MEIO menulis surat yang sama kepada AS, Kanada, United Kingdom bagi meminta bantuan.

“Sebelum surat itu dihantar, ia diteliti oleh 10 pegawai lain daripada unit berkenaan dan ia menunjukkan bahawa ini merupakan perkara yang sangat sulit,” katanya.

“MEIO sudah bertapak sejak bertahun-tahun. Ia ditubuhkan pada era 60-an untuk bekerjasama dengan Cawangan Khas, Risikan Tentera dan Majlis Keselamatan Negara.

“Semasa konfrontasi Malaysia-Indonesia, surat yang sama dihantar kepada rakan sejawat kita, meminta bantuan kerana ia melibatkan keselamatan negara,” kata peguam itu.

Najib baru-baru ini menafikan tahu tentang kewujudan surat tersebut selepas ia didedahkan kepada umum dalam laporan eksklusif oleh laman berita atas talian, Malaysiakini.

Surat itu ditandatangi oleh Hasanah bagi memohon AS untuk menyokong Najib dalam keputusan pilihan raya 9 Mei “walaupun jika kami menang pilihan raya dengan majoriti mudah atau hanya satu kerusi.”

Najib memberitahu pemberita yang surat tersebut dikeluarkan bukan atas arahannya dan ia adalah perkara membabitkan agensi ke agensi.

“Ia tidak diarahkan oleh saya. Surat berkenaan ditulis oleh agensi (Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri). Sama ada mereka menulis surat itu atau tidak, kamu perlu tanya mereka,” kata bekas perdana menteri itu,

“Ia melibatkan ‘agensi ke agensi’, saya tidak boleh mengesahkan atau menafikan, Saya tidak tahu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, minggu lalu.

Surat itu dikirim kepada Pengarah CIA Gina Haspel.

Awal hari ini, Hasanah bersama-sama Shaharudin membuat laporan polis di balai polis Travers berhubung surat tersebut.

Hasanah meluangkan masa lebih satu jam di balai polis tersebut dalam kemunculan pertamanya di khalayak ramai sejak surat itu tular.– 31 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen