Kadar, pengecualian SST ditentukan MoF


Kamles Kumar

RUU menghapuskan GST dan melaksanakan SST sedang dibentangkan di Dewan Rakyat, dalam RUU itu kadar SST tidak ditetapkan dan akan ditentukan Kementerian Kewangan. – Gambar EPA, 31 Julai, 2018.

RANG Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dibentangkan di Parlimen hari ini tidak menyatakan kadar cukai ditetapkan kerajaan.

Sebaliknya, menurut RUU Jualan 2018 dan RUU Perkhidmatan 2018 itu, kadar cukai baharu itu akan ditentukan Kementerian Kewangan (MoF).

Kementerian dihendaki membentangkan kadar itu di Parlimen dalam tempoh 120 hari bagi membolehkan RUU diluluskan.

Jika kadar yang dibentangkan tidak mendapat kelulusan Dewan, cukai jualan yang dikenakan akan dikembalikan kepada rakyat.

Barangan kena cukai ditakrifkan sebagai barangan dihasilkan di Malaysia atau diimport ke Malaysia, sementara cukai perkhidmatan boleh dikenakan oleh sesiapa sahaja yang berdaftar dan menjalankan perniagaan di Malaysia.

RUU itu juga menyatakan menteri berkuasa mengecualikan apa sahaja barangan atau kelas barangan daripada dicukai.

Menteri juga berkuasa mengecualikan individu atau kumpulan individu daripada membayar sama ada keseluruhan atau sebahagian cukai.

Ketua pengarah kastam akan diberikan kuasa untuk melaksana dan menghukum salah laku berkaitan SST.

Denda berkaitan SST boleh dibayar secara ansuran atau jika pesalah gagal membayar mengikut jadual, denda 10% boleh dikenakan ke atas jumlah baki cukai.

Kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 Jun lalu.

Pada 16 Julai, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata SST akan ditetapkan pada kadar 10% untuk jualan dan 6% untuk perkhidmatan.

Lim berkata, dengan SST bersama-sama peningkatan harga minyak serta dividen tambahan dari syarikat berkaitan kerajaan, pendapatan kerajaan akan meningkat sebanyak RM14.4 bilion bagi menampung kehilangan RM21 bilion kerana kadar sifar GST.

Menggantikan GST dengan SST adalah antara janji manifesto pilihan raya PH. – 31 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen