Sabah juga akan membarisi majlis presiden PH, kata Wan Azizah


Jason Santos

Wakil Sabah dalam PH kata Wan Azizah penting dalam membawa semangat pembentukan Malaysia.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2017.

PRESIDEN Pakatan Harapan Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan akan meletakkan barisan pemimpin Sabah tidak lama lagi.

Katanya, ahli Sabah dalam barisan kepimpinan majlis itu penting dalam semangat pembentukan Malaysia.

“Ia kerana kita bersetuju pembentukan Malaysia adalah termasuk Sabah dan Sarawak.

“Sebagaimana Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Richard Malanjum berkata sebelum ini, Sabah tidak sertai Malaysia. Sabah cipta Malaysia.

“Untuk itu, kita adakan perkara ini,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya PKR Sabah, hari ini.

Media Sabah melaporkan Malanjum baru-baru ini berkata Sabah tidak sertai Malaysia, menggugurkan dakwaan sesetengah pihak dokumen seperti Perjanjian Malaysia 1963, Laporan Antara Kerajaan dan lain-lain yang berkaitan dengan pembentukan Malaysia sebagai semata-mata akademik.

Sementara itu, ahli PH di Sabah, DAP dikritik ahli politik Barisan Nasional apabila tiada rakyat Sabah dinamakan dalam majlis presiden pakatan pembangkang yang baharu.

PH menamakan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden pada 3 Julai lalu.

Dr Mahathr yang membacakan pengumuman itu berkata mereka akan menghantar barisan kepimpinan baharu dan logo kepada RoS untuk didaftarkan. – 22 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen