TIMBALAN Presiden PKR Azmin Ali akan hanya mengumumkan rancangannya untuk pemilihan parti selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.
Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata beliau terlalu sibuk dengan tugas Kabinet dan membantu PKR untuk menang pada PRK yang akan berlangsung pada 4 Ogos, untuk memikirkan tentang jawatan apa akan ditandinginya dalam pemilihan yang dijadualkan akhir bulan depan.
“Saya belum buat keputusan lagi kerana kebanyakan masa saya di sidang Parlimen dan membantu calon Sungai Kandis,” katanya kepada wartawan selepas ceramah kempen di Taman Seri Andalas di Klang, malam tadi.
“Saya tidak boleh fikir tentang diri sendiri saja, sebagai timbalan presiden parti ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab saya. Calon parti mesti menang dan dia mesti menang besar,” katanya merujuk kepada calon Pakatan Harapan (PH) untuk Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
“Selepas PRK Sungai Kandis, saya akan membuat keputusan tentang masa depan saya dalam parti, dengan tenang.”
PRK Sungai Kandis ditetapkan pada 4 Ogos yang akan menyaksikan Zawawi bertanding melawan calon Barisan Nasional, Lokman Nor Adam dan calon bebas, K. Murthy.
Masa depan Azmin dalam PKR, parti terbesar dalam gabungan pemerintah PH, menjadi subjek spekulasi hangat kerana beliau dilihat sebagai ketua salah satu daripada dua puak dalam PKR.
Puak satu lagi dikaitkan dengan Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang akan memberi laluan untuk suaminya, Anwar Ibrahim.
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, yang juga pesaing Azmin, sudah mengumumkan beliau akan bertanding merebut jawatan nombor dua dalam parti.
Penyokong Azmin menggesanya supaya bertanding jawatan presiden.
Azmin berkata beliau mengalu-alukan mana-mana ahli untuk bertanding jawatan itu kerana ia akan mengukuhkan lagi budaya demokratik dalam parti.
“Ini propaganda daripada musuh kita. Semua ahli adalah sebahagian keluarga PKR. Saya sudah berada di jawatan ini selama 20 tahun dan saya tidak memperolehnya secara percuma.
“Saya sentiasa dicabar dalam semua pemilihan dan saya percaya ia sesuatu yang sihat. Biar ahli yang tentukan.”
Seramai kira-kira 800,000 ahli PKR akan mengundi untuk semua jawatan bagi pemilihan parti tahun ini. – 31 Julai, 2018.
Komen