LALUAN pejalan kaki dan lorong gelap di tengah-tengah ibu negara Malaysia menjadi kediaman kepada golongan miskin bandar. Setiap Rabu selepas matahari terbenam, mereka berkumpul di sepanjang Jalan Hang Lekiu untuk menanti kedatangan Klinik Bergerak Teddy, yang menyediakan khidmat perubatan percuma kepada mereka.
Klinik bergerak yang diuruskan Dr Madhusudhan Shanmugan, 35 akan menyambut ulang tahun keduanya Ogos tahun ini. Ia berkembang daripada kurang lima sukarelawan kepada kira-kira 30 hingga 40 orang termasuk ahli keluarga doktor sendiri.
“Pada mulanya, ia bergerak secara kecil-kecilan. Kami mempunyai satu meja dan kira-kira empat hingga lima sukarelawan. Dengan berita mengenainya tersebar, hari ini kami mempunyai sukarelawan yang datang dari latar belakang profesional yang berbeza. Ayah saya dan abang saya, yang kedua-dua doktor, akan menyertai kami setiap kali mereka lapang dan adik perempuan saya, Sudheshna Shanmugam, seorang ahli farmasi, sentiasa berada di sini,” katanya.
Penyatuan kumpulan sukarelawan ini hanya untuk satu tujuan.
“Untuk membantu mereka yang memerlukan. Kos sara hidup yang tinggi mengehadkan mereka mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang baik. Saya rasa mereka perlukan sekurang-kurangnya bantuan perubatan asas dan sebab itu kami di sini,” kata Dr Madhusudhan.
Nama “Teddy” diinspirasikan daripada kanak-kanak jalanan yang menggelarnya “doktor Teddy Bear”.
“Saya pernah bantu organisasi lain, di mana saya memberi banyak teddy bear kepada kanak-kanak di jalanan. Suatu hari ketika saya berjalan, seorang kanak-kanak menjerit ke arah saya dan memanggil saya “doktor Teddy Bear”. Dari situ saya mendapat nama.
“Namun ramai yang fikir saya mendapat gelaran itu kerana saiz badan saya, yang mana saya boleh katakan agak benar,” katanya sambil ketawa.
Pada malam biasa, sukarelawan akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan dengan empat ahli setiap kumpulan sebelum diberikan taklimat.
Pertama, klinik bergerak akan mendapatkan bantuan Kechara Soup Kitchen untuk daftarkan pesakit dan simpan data mereka untuk rujukan akan datang.
Selepas pemdaftaran, pesakit akan dipindahkan ke stesen kedua di mana doktor akan memeriksa kadar gula dan tekanan darah. Pada stesen ketiga, pemeriksaan lanjut dibuat ke atas pesakit sebelum mereka dibawa ke stesen terakhir, dispensari ubat.
Selama ini, sukarelawan lain akan bertindak sebagai pembantu yang akan memberi panduan kepada pesakit dari satu stesen ke satu stesen..
“Sukarelawan saya adalah segalanya bagi saya. Tanpa mereka, klinik bergerak ini tidak akan beroperasi. Walaupun pada hari saya tiada, klinik bergerak ini tetap beroperasi, terima kasih kepada sukarelawan. Kami seperti sebuah keluarga,” kata Dr Madhusudhan kepada The Malaysian Insight.
Pada peringkat awal, dia membiayai kos ubat klinik bergerak itu menggunakan duit poketnya sendiri. Apabila berita mengenai kerja amal itu tersebar di media sosial, penderma tampil memberi sokongan setiap minggu.
“Kami mendapatkan bekalan ubat-ubatan dan keperluan lain daripada penderma ini. Apabila kami adakan kutipan derma, kami mampu mencapai sasaran dalam tempoh 48 jam. Media sosial amat membantu,” katanya.
Dengan sukarelawan yang berdedikasi dan dana daripada penderma, Klinik Bergerak Teddy merancang untuk memgembangkan khidmatnya kepada lokasi lain yang memerlukan.
Dr Madhusudhan berkata, dia pernah didatangi beberapa kumpulan yang mahu mengikut jejak langkah yang dimulakannya, dan dia berkongsi pengalaman dengan mereka.
“Saya sentiasa galakkan masyarakat untuk membantu, kita tidak bersaing dengan pihak lain. Kami hanya mahukan masyarakat mengikut jejak langkah kami. Sekiranya ia memberi faedah, teruskan. Ada yang mendakwa apa yang kami lakukan hanya untuk mengejar nama, tapi sekiranya menjadi terkenal dapat membantu orang lain, biarkan saja.” – 22 Julai, 2017.
Komen