Berhenti tipu tentang masjid, Azmin kecam BN


Sheridan Mahavera

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mengecam Barisan Nasional yang mendakwa Pakatan Harapan menghentikan projek bina masjid kerana tiada duit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2018.

AZMIN Ali malam tadi mengecam Barisan Nasional kerana salah menuduh kerajaan Pakatan Harapan sudah berhenti membina masjid kerana kekurangan dana.

Timbalan presiden PKR itu berkata tuduhan itu adalah contoh terbaru bagaimana pembangkang menggunakan sentimen kaum dan agama hanya kerana mahu menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

“Ini penipuan semata-mata. Saya dengar mereka kata begitu di Sungai Kandis. Kami tak pernah kata kami batalkan projek masjid.

“Infrastruktur awam seperti jalan raya, utiliti, masjid dan surau akan diteruskan,” kata Azmin dalam ceramahnya di Taman Seri Andalas, Klang malam tadi.

“Yang sedang kami semak adalah projek mega yang digunakan untuk mengayakan pemimpin Umno dan kawan taikun mereka. Ini termasuklah ECRL (Landasan Kereta Api Pantai Timur) dan HSR (Kereta Api Berkelajuan Tinggi).”  

Sejak Pakatan Harapan berkuasa di Putrajaya pada 9 Mei lalu, kerajaan mendapati Barisan Nasional membina projek kecil tetapi kos yang sangat tinggi.

Misalnya, mereka meluluskan pembinaan kem latihan bernilai RM200 juta yang akan di bina di kawasan pendalaman, kata Azmin yang juga menteri ehwal ekonomi.

“Tiada siapa yang akan guna kem latihan RM200 juta yang entah di mana-mana. Yang hanya akan guna adalah harimau dan gajah.”

BN dikecam hebat kerana menggunakan retorik kaum dan agama dalam kempennya untuk meraih undi pengundi Sungai Kandis yang akan turut memilih wakil rakyat mereka 4 Ogos depan.

Calon PH Mohd Zawawi Ahmad Mughni berdepan cabaran Lokman Noor Adam (BN) dan calon bebas K Murthy untuk merebut kerusi pinggir bandar antara Klang dan Shah Alam ini.

Azmin yang merupakan bekas menteri besar Selangor berkata Bajet Negeri 2018 diluluskan PH tidak pernah meminggirkan orang Islam atau melupakan keperluan masyarakat.

Dalam Bajet Negeri 2018 yang diluluskan tahun lepas, kerajaan negeri memperuntukkan RM400 juta hanya untuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), kata Azmin.

Dana itu adalah untuk pembinaan masjid, surau dan tahfiz serta menganjurkan program Islam. – 31 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen