Rombakan Khazanah untuk kembali kepada matlamat asal


Sheridan Mahavera

Peranan Khazanah sudah berubah ketika berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional dan dana itu kerap kali melakukan pelaburan yang merugikan sehingga hilang wang setiap tahun, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali. – Gambar EPA, 30 Julai, 2018.

KHAZANAH Nasional Berhad akan dirombak untuk mengembalikan dana pelaburan negara itu kepada matlamat asalnya untuk memiliki dan menjaga aset negara bagi pihak rakyat Malaysia, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

Rombakan itu adalah antara langkah pertama diambil Khazanah yang akan berada di bawah lembaga pengarah yang baharu diumumkan semalam, kata Azmin kepada wartawan di Sungai Kandis, Klang malam tadi.

Tambahnya, peranan Khazanah sudah berubah ketika berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional dan dana itu kerap kali melakukan pelaburan yang merugikan sehingga hilang wang setiap tahun.

“Sejak beberapa tahun lepas mereka mempelbagaikan pelaburan mereka dan ini tidak memberikan pulangan yang baik. Hampir setiap tahuh mereka terpaksa melupuskan pelaburan tertentu,” katanya.

Azmin tidak menjelaskan berapa banyak yang perlu dilupuskan Khazanah tetapi berkata jumlah itu “besar”.

Beliau menambah yang kembalinya Khazanah kepada peranan lamanya juga akan membolehkan peningkatan penglibatan Bumiputera dalam ekonomi, sama ada menerusi pegangan saham, hartanah atau pelaburan lain.

“Mungkin panel pelaburan tidak menelitinya dengan serius menyebabkan pelaburan yang diluluskan rugi besar.

“Jadi perkara ini perlu diteliti sekali lagi kerana kita mahukan dasar ekonomi yang saksama kepada semua rakyat Malaysia.”

Dalam kenyataan dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri semalam, Azmin dilantik menjadi ahli lembaga pengarah Khazanah bersama-sama Mohd Hassan Marican, Dr Sukhdave Singh dan Goh Ching Yin. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pula dilantik sebagai pengerusi.

Kenyataan turut menyebut yang pengarah urusan baharu syarikat akan dilantik pada tarikh akan diumumkan kelak.

Azmin juga menolak dakwaan yang pelantikannya dan Dr Mahathir bermakna kerajaan Pakatan Harapan tidak memenuhi janjinya untuk melantik profesional bagi menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Benar kami tak mahukan ahli politik untuk pegang jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun, tetapi dalam konteks ini Dr Mahathir berada di sana (lembaga pengarah Khazanah) kerana beliau perdana menteri,” katanya.

Sementara beliau pula, kata Azmin, dipilih atas kapasitinya sebagai menteri hal ehwal ekonomi yang bertanggungjawab merancang ekonomi negara. – 31 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen