Graduan tahfiz akan dipastikan dapat kerja, kata menteri


Yasmin Ramlan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mujahid Yusof Rawa (tengah) berkata pihaknya akan meminta pengendali sekolah tahfiz mendaftarkan sekolah mereka supaya dapat dipantau kerajaan di Kompleks Islam, Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Julai, 2018.

MENTERI Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan akan terus menambah baik sistem pendidikan tahfiz bagi memastikan lulusan sekolah itu mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Katanya, kerajaan akan memastikan sekolah tahfiz sedia ada mengikut garis panduan yang ditetapkan badan pensijilan tahfiz Darul Quran di bawah Jakim memandangkan banyak sekolah itu mengamalkan kurikulum sendiri.

“Kita bukanlah nak suruh paksa tapi kita nak mereka ikut garis panduan supaya kurikulum itu menghasilkan pelajar yang tak tersisih daripada arus perdana termasuklah kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja,” katanya kepada pemberita di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

Mujahid juga meminta pengendali sekolah tahfiz lebih telus dan berdaftar dengan badan kerajaan supaya dapat dipantau oleh kerajaan.

Tambahnya, guru yang mengajar juga perlu diberi latihan yang sewajarnya bagi mengelakkan timbulnya isu dera seperti rotan atau menyekat murid daripada tidur.

“Dan akhirnya yang lebih penting maahad tahfiz (atau mana-mana sekolah), akhirnya apa yang dia nak keluarkan?

“Dia bukan hanya keluarkan para huffaz tapi hasilkan mereka yang boleh menyumbang kepada negara,” katanya.

Katanya, pihak beliau telah menandatangani memorandum persetujuan dengan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) untuk menghasilkan para huffaz berijazah.

“Model terbaik kita ada adalah Darul Quran sebab ia bukan saja belajar tahfiz diploma tapi juga ijazah.

“Tak semestinya kerja imam (selepas tamat pengajian) tapi lain-lain termasuk TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) yang dulu diperkenalkan,” katanya. 

Menteri Pendidikan Maszlee Malik juga pada awal bulan ini memberi jaminan akan membantu sekolah tahfiz bagi memastikan lulusan sekolah itu mampu bersaing dalam akademik dan di pasaran kerja.

Jaminan itu timbul susulan kritikan ke atas kualiti pengajaran dan pendidikan di sekolah tahfiz yang didakwa tidak membantu meningkatkan peluang lulusannya untuk menyertai pasaran kerja. – 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen