PERANG mulut di antara Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy selesai hari ini selepas kedua-duanya bertemu dan berbincang mengenai isu yang menjadi pertikaian.
Dalam pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mujahid Yusof Rawa itu, mereka bersetuju agar dakwaan mengaitkan Ramasamy dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) disiasat pihak berkuasa.
Turut diselesaikan adalah isu melibatkan Zakir Naik, penceramah kontroversi India yang kini mendapat perlindungan di Malaysia, kata Mujahid kepada pemberita.
Beliau gembira kerana pertelingkahan di antara kedua-dua tokoh tersebut dapat diselesaikan di meja rundingan.
“Lepas daripada (pertemuan) ini, saya bersetuju semua pihak tak kira siapa mereka, apa kaum atau agama mereka, dalam isu sensitif haruslah bersabar… jangan diprovokasikan dan cari saluran baik tentang isu yang berlaku dalam negara kita.
“Simbol rakyat Malaysia (adalah) kita boleh selesaikan di meja rundingan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan 40 minit itu di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ramasamy pula berkata beliau pihaknya berbesar hati atas jemputan Mujahid ke Jakim bagi menyelesaikan perselisihan faham itu, meskipun ramai pihak mempersoalkan keperluan menerima jemputan tersebut.
“Saya kata bahawa saya seorang insan yang pentingkan perbincangan, sama ada saya suka atau tak, tak penting. Keharmonian negara adalah fokus kita dan saya sanggup bincang dengan siapa-siapa (mengenainya).
“Kita tak nak Malaysia ini diperangkap dengan isu-isu seperti ini dan mungkin ini akan ada (pihak) yang ambil kesempatan,” kata Ramasamy.
Senada dengan Ramasamy, Asri berkata, beliau meminta agar pihak Jakim atau agensi berkaitan menyediakan satu platform sebagai saluran bagi membincangkan isu-isu seperti ini.
“Yang lebih penting kita minta supaya pihak Jakim ataupun mana-mana organsiasi kerajaan.. mungkin Jakim telah memulakannya adakan satu platform yang membolehkan kita yang berbeza ini ada saluran untuk membincang sepertimana yang disebut oleh YB menteri tadi.
“Mungkin Ramasamy tak ada saluran nak luahkan isu Zakir Naik jadi saya pun tak ada saluran bagaimana (untuk salurkan isu LTTE).
“Dan kita bagitau tadi sesiapa saja sama ada Zakir Naik atau siapa.. Dr Ramasamy bersetuju juga (mereka) boleh duduk di Malaysia dengan syarat menghormati nilai-nilai yang dipakai di negara ini,” katanya.
Perang mulut antara kedua-duanya bermula Selasa lalu apabila gambar Ramasamy bersama ahli politik pro-LTTE, V Gopalasamy tular di media sosial.
Ia disebarkan dengan dakwaan bahawa ahli politik DAP itu mempunyai hubungan dengan kumpulan pemberontak di Sri Lanka yang dianggap pengganas oleh beberapa negara.
Susulan itu, lebih 50 laporan polis dibuat terhadap Ramasamy atas dakwaan menyokong kumpulan pengganas LTTE.
Ramasamy telahpun menafikan terlibat dengan kumpulan militan tersebut dan turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih belum menghantar pulang Zakir pulang ke India.
Asri pula mendakwa Ramasamy menyokong LTTE kerana menjemput aktivis kumpulan pengganas tersebut ke Malaysia.
Beliau juga menyifatkan LTTE sebagai kumpulan yang membenci Islam dan turut membunuh ramai penganut agama itu. – 30 Julai, 2018.
Komen