KEMENTERIAN Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bergabung tenaga menyiasat aduan seorang ketua jabatan hospital kerajaan yang didakwa melakukan siri serangan seksual.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau akan berjumpa Menteri Wanita Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Hannah Yeoh untuk membincangkan kes itu yang dibongkar akhbar The Star semalam.
“Kami akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kes ini,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Wakil rakyat Amanah itu juga berkata kementeriannya akan bertindak tegas ke atas kejadian itu bagi menghalang ia berulang.
“Kami sedang meneliti menghantar amaran tegas ke atas semua kelakuan dan budaya toksik ini.”
Semalam, The Star dalam laporan eksklusifnya mendedahkan beberapa aduan terhadap seorang ketua jabatan hospital kerajaan yang didakwa melakukan serangan dan gangguan seksual kepada pegawai perubatan wanita di bawah jagaannya.
Laporan mendakwa beliau menjadikan pegawai muda sebagai mangsa kerana mereka terpaksa bergantung kepadanya untuk lulus latihan perubatan.
Salah seorang mangsa mendakwa beliau membuat laporan polis tahun lepas tetapi tiada tindakan diambil. – 30 Julai, 2018.
Komen