MENTERI Pendidikan Maszlee Malik menyerahkan kepada pakar untuk menentukan fakta buku teks sekolah yang didakwa digunakan sebagai propaganda kerajaan selama ini.
Katanya, pandangan yang disuarakan dalam forum “Should We Rewrite Our History Book?” (Perlukah Kita Menulis Buku Sejarah?) pada hujung minggu lalu harus dikaji bersama pakar sejarah.
“Saya tak boleh beri keputusan pada waktu ini kerana kita perlu berbincang dengan bahagian-bahagian terbabit dan sepertimana pendekatan saya, lebih kepada konsultasi. Kita perlu melibatkan pakar sejarah.
“Jadi apabila kita bertemu dengan mereka dan mereka melakukan beberapa kajian, baru saya boleh membuat kenyataan berkenaan isu tersebut,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan aktivis yang turut menggesa kerajaan Pakatan Harapan memuatkan fakta mengenai perjuangan golongan berhaluan kiri dalam menuntut kemerdekaan.
Salah seorang aktivis, Fadiah Nadwa Fikri dilaporkan berkata, fakta berkenaan perjuangan Parti Komunis Malaysia juga perlu diubah untuk memberi kefahaman kepada pelajar.
Menurutnya, fakta sedia ada dalam buku teks sejarah hanya memuatkan perjuangan satu pihak saja sedangkan banyak pihak lain terlibat dalam tuntutan kemerdekaan.
Dalam dalam forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur - Selangor semalam, seorang lagi ahli panel, aktivis Fahmi Reza pula dilaporkan berkata, buku teks digunakan sebagai alat propaganda oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini. – 30 Julai, 2018.
Komen