MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata jumlah peruntukan sebenar yang diperlukan untuk membiayai program MyBrain adalah RM612 juta, bukannya RM90 juta seperti diumumkan kerajaan terdahulu.
Maszlee menjelaskan jumlah peruntukan yang besar itu juga sepatutnya mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi dan Kementerian Kewangan terlebih dahulu.
Bagaimanapun ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, peruntukan RM90 juta yang dijanjikan oleh pimpinan kerajaan Barisan Nasional itu tidak pernah sampai ke kementeriannya.
“Kita perlu tahu program MyBrain melibatkan lebih 10,000 di kalangan mereka yang menerimanya.
“Jadi apa yang berlaku adalah kerajaan sebelum ini menjanjikan RM90 juta peruntukan tapi sebenarnya peruntukan tersebut tak pernah sampai lagi ke Kementerian Pendidikan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jelasnya lagi, penyaluran biasiswa berkenaan dibuat dengan pertimbangan politik dan jumlah RM90 juta yang diumumkan itu amat kecil berbanding jumlah sebenar yang diperlukan.
“Ia merupakan satu political gesture kerajaan lepas dan RM90 juta sebenarnya tak cukup menampung keseluruhan pengajian penerima-penerima tersebut.
“Keseluruhan kos yang perlu ditanggung adalah RM612 juta dan ini mempunyai implikasi kewangan yang besar,” katanya.
Beliau mengulas mengenai penangguhan biasiswa program MyBrain bagi pengajian di peringkat kedoktoran dan sarjana.
Maszlee bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, kenyataan Maszlee mengenai penangguhkan program tersebut kerana faktor ekonomi semasa dan kekangan kewangan kementerian dikecam pelbagai pihak.
Katanya, kerajaan terdahulu meninggalkan hutang begitu banyak untuk rakyat dan kerajaan tidak lagi boleh menawarkan biasiswa berkenaan.
Bagaimanapun, Maszlee hari ini menjelaskan berlaku salah faham dalam kenyataannya itu.
“Kalau ikutkan daripada dapat pemberian duit itu (tetapi) bergantung kepada EPU dan Kementerian Kewangan yang masa ini mungkin melihatkan kepentingan-kepentingan beberapa isu terdahulu,” katanya. – 30 Julai, 2018.
Komen