PM kata bukan saja komunisme, ajar juga kleptokrasi di sekolah


Kamles Kumar

TEORI komunisme dan kleptokrasi wajar diajar kepada pelajar sekolah supaya mereka dapat memahami kisah silam negara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Rakyat Malaysia wajar mempunyai pemahaman mengenai perkara ini supaya mereka boleh mengambil iktibar kisah silam untuk bergerak ke depan, tambahnya.

“Kita perlu untuk faham apa itu komunisme. Kita tak mahu galakkan fahaman komunis.

“Tetapi, kita perlu untuk tahu apa itu komunis, apa itu kapitalis, (apa itu) demokrasi (dan) kleptokrasi,” katanya kepada wartawan pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan wartawan sekiranya Putrajaya akan menyokong rombakan sukatan pelajaran sekolah untuk memasukkan pengajaran komunisme.

Isu itu dibangkitkan pada sebuah forum semalam mengenai Hartal 1947 untuk membantah pentadbiran penjajah British.

Pada forum itu, aktivis Fadiah Nadwa Fikri mencadangkan Malaysia perlu memasukkan sukatan pelajaran sejarah mengenai Parti Komunis Malaya (PKM) menentang penjajah British.

Kleptokrasi yang disebut Dr Mahathir pula merujuk kepada terma yang digunakan secara meluas oleh Pakatan Harapan ditujukan kepada pentadbiran terdahulu dipimpin Najib Razak yang terpalit pelbagai skandal melibatkan institusi awam dan skandal dana kewangan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata pengenalan perkara itu ke dalam sukatan pelajaran sekolah perlu dikaji terlebih dahulu. – 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen