DR Mahathir Mohamad tidak mempunyai masalah untuk bersetuju dengan cadangan supaya pemain bola sepak asing dinaturalisasikan bagi membolehkan mereka bermain dengan pasukan Harimau Malaya.
Perdana menteri itu berkata ia adalah amalan biasa di seluruh dunia terutama di Eropah, dan ia boleh dilakukan untuk meningkatkan kualiti pasukan bola sepak kebangsaan.
“Sekarang semua pasukan bola sepak ambil pemain dari negara lain. Kerana itulah kita tengok banyak pemain Barat berkulit gelap. Jadi jika kita (mahu) ambil, boleh sahaja,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, pengerusi Pakatan Harapan itu berkata pemain asing tidak boleh melebihi pemain tempatan.
“Tetapi, tidaklah sampai semua 11 pemain dari negara luar. Pemain (tempatan) kita perlu ada dalam pasukan juga,” katanya.
Minggu lepas, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baharu dilantik, Hamidin Amin mencadangkan proses naturalisasi pemain bagi meningkatkan kualiti bola sepak negara.
Katanya, ia berdasarkan prestasi pasukan Perancis dalam Piala Dunia yang mempunyai ramai pemain naturalisasi. – 30 Julai, 2018.
Komen