Dr Mahathir akan bertemu menteri luar Australia, bincang tentang Sirul


Kamles Kumar

Perdana Menteri DR Mahathir Mohamad dijangka bertemu Menteri Luar Australia Julie Bishop untuk membincangkan nasib Sirul Azhar Umar yang kini di Sydney selepas lari daripada hukuman mati dalam kes bunuh Altantuya Shaariibuu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2018.

DR Mahathir Mohamad dijangka bertemu Menteri Luar Australia Julie Bishop untuk membincangkan nasib Sirul Azhar Umar, pengawal peribadi yang dijatuhi hukuman mati selepas dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Perdana menteri berkata beliau mahu mengetahui pendirian Australia berkaitan perkara itu susulan Sirul pada masa ini memohon suaka di Sydney.

“Tiada secara khusus, saya hanya mahu tahu pendirian Australia tentang isu ini,” kata Dr Mahathir kepada wartawan ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Bishop dijadualkan tiba di Malaysia esok dan akan mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatnya, Saifuddin Abdullah dalam satu mesyuarat tertutup.

Sirul yang dijatuhi hukuman gantung pada 2006 dalam kes Altantuya, melarikan diri ke Sydney pada 2015.

Sirul mendakwa beliau bertindak atas arahan pihak tertinggi, menggesa kerajaan baharu Pakatan Harapan memohon penghantaran pulangnya ke tanah air bagi membantu siasatan kes kematian Altantuya.

Permohonan Malaysia sebelum ini untuk membawa Sirul pulang, ditolak oleh Australia.

Sirul sebelum ini berkata beliau bersedia untuk bercakap tentang apa sebenarnya yang berlaku, dengan syarat beliau diberikan keampunan penuh.

Sirul bersama ketua inspektor Azilah Hadri, dijatuhi hukuman mati pada 2009.

Pada 2013, Mahkamah Rayuan mengembalikan hukuman mati terhadap mereka.

Altantuya, 28, dipercayai ditembak sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera di hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 2006. – 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen