APABILA seseorang itu menawarkan diri untuk bertanding sebuah jawatan, bermakna orang itu merasakan dirinya sesuai untuk menyandang jawatan tersebut, kata Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin merujuk kepada jawatan yang akan ditandingi Rafizi Ramli.
Rafizi yang merupakan naib presiden parti sebelum ini mengumumkan bahawa beliau akan bertanding jawatan kedua parti itu.
Ini secara tidak langsung mencabar Mohamed Azmin Ali daripada mengekalkan jawatan timbalan presiden dengan selesa.
“Setiap individu yang menawarkan diri mereka sesuatu jawatan, dia merasakan diri dia sesuai untuk jawatan itu,” katanya kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan penduduk dan pemaju di Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia di Bukit Jalil hari ini.
Zuraida menambah, sesiapa pun bebas untuk bertanding mana-mana jawatan dalam parti bagi pemilihan parti nanti, memandangkan PKR mengamalkan sistem demokrasi.
“Keadilan mengamalkan sistem demokrasi yang telus. Jadi buka kepada sesiapa nak bertanding dia boleh,” katanya.
Beliau berkara demikian apabila diminta mengulas pandangannya mengenai jawatan yang bakal ditandingi oleh bekas ahli Parlimen Pandan itu.
Sementara itu, Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata sama ada beliau akan bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti bulan depan, ia akan diputuskan selepas Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis. – 29 Julai, 2018.
Komen