TERKENAL dengan pendirian tegasnya terhadap hak dan ketuanan Melayu, hari ini nada Lokman Noor Adam berbeza sekali apabila berjanji untuk memperjuangkan hak kaum India sekiranya beliau menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.
Malah calon Barisan Nasional (BN) yang pernah menjadi penyokong kuat Anwar Ibrahim itu berkata akan berdemo jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor gagal menjaga kebajikan kaum India di negeri itu.
“Saya janji, kalau saya menang dalam pilihan raya kecil ini, anda akan dapat wakil rakyat yang kuat dan garang di sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.
“Saya akan gunakan platform itu untuk suarakan kemarahan orang India dan jika saya gagal menggunakan platform itu, saya bantah di jalan-jalan raya. Saya akan buat,” kata Lokman pada satu majlis anjuran MIC di Sungai Kandis.
Lokman yang pernah ditahan di bawah ISA, kemudiannya memberitahu hadirin bahawa bekas perdana menteri Najib Razak menjaga kaum India jauh lebih baik berbanding apa yang telah Dr Mahathir lakukan sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri keempat.
Malah setelah dilantik semula sebagai perdana menteri ketujuh, Dr Mahathir masih belum dapat menjamin masa depan yang lebih baik untuk kaum India.
“Najib adalah perdana menteri pertama yang memperkenalkan Pelan Tindakan Masyarakat India. Beliau menjaga orang India, begitu juga orang Melayu, Cina, Sikh dan rakyat di Malaysia Timur.”
“Selama 22 tahun apa yang Dr Mahathir buat untuk orang India? Malah sanggup panggil orang India ‘keling’ sebelum jadi perdana menteri,” kata Lokman. – 29 Julai, 2018.
Komen