PENERBANGAN AirAsia AK0037 ke Cochin, India, hari ini terpaksa berpatah balik kerana disyaki mengalami masalah enjin.
Penerbangan itu berlepas ke India pada jam 6.25 pagi, dan berpatah semula ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selepas lebih dua jam menurut laman sesawang penerbangan flightradar24.com.
Menurutnya, pesawat terbang kira-kira 1,000km, melewati Banda Acheh, Indonesia, sebelum mengubah haluan kembali ke klia2.
Seorang penumpang dalam pesawat penerbangan AK0037, Kanasen Sathiavelu, 49, berkata penerbangan itu lancar walaupun pesawat itu terpaksa berpatah semula.
“Para pramugari udara sangat tenang, mereka hanya mengatakan ia adalah masalah teknikal, pesawat tidak bergegar, tiada penumpang yang menjerit, semua orang tenang, saya hanya menyedari terdapat sedikit kehilangan kuasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pesawat itu dinaiki kira-kira 300 penumpang dan anak kapal, kata Kanasen.
Beliau berkata apabila mendarat, terdapat beberapa penumpang yang keliru, tetapi kebanyakannya marah kerana penerbangan dibatalkan.
“Apabila kami mendarat ia seperti pendaratan biasa, seorang pramugari udara mengumumkan ‘Terima kasih kerana terbang bersama AirAsia’.
Kanasen menambah, penumpang diberitahu oleh kakitangan AirAsia yang penerbangan gantian akan tersedia pada jam 1 petang hari ini.
“Mereka juga memberi kami baucar, tetapi saya tidak pasti apa yang berlaku,” katanya.
AirAsia dalam satu kenyataan mengesahkan penerbangan itu dibatalkan, mengatakan ia “disebabkan masalah teknikal”.
“Pesawat itu mendarat dengan selamat dan masa berlepas penerbangan baru pada 3.45 petang. Sementara itu, semua penumpang menerima layanan daripada pihak AirAsia.” – 22 Julai, 2017.
Komen