Lanjutan perkhidmatan jawatan hakim tertinggi dipersoal lagi


Bede Hong

Pakar perundangan negara terus mempertikaikan sambungan lanjutan dua hakim tertinggi yang disifatkan memberi kesan kepada badan kehakiman dan Perlembagaan negara. – Gambar AFP, 22 Julai, 2017.

PERANAN Yang di-Pertuan Agong dalam penggunaan Perkara 122 (1A) baru-baru ini untuk melantik hakim tambahan memerlukan perbincangan berasingan dan lengkap, kata pakar perundangan Perlembagaan.

Pada 7 Julai, kerajaan melanjutkan perkhidmatan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin, yang akan berkhidmat selama tiga dan dua tahun lagi.

Kedua-duanya dilantik sebagai hakim tambahan untuk memastikan mereka terus kekal dalam bidang kehakiman melebihi had usia 66 tahun dan enam bulan, menurut Perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Profesor Emeritus Universiti Teknologi Mara, Shad Saleem Faruqi menegaskan yang peruntukan menyatakan Agong “mesti bertindak atas nasihat ketua hakim negara.”

“Sekarang, perlukah ketua hakim negara yang memberi nasihat, dilakukan ketua hakim negara sedia ada? Atau bolehkah bekas ketua hakim negara menasihati calon pelantikan, sementara beliau masih memegang jawatannya?” Shad berkata semasa forum yang dihoskan Majlis Peguam Negara di Kuala Lumpur malam tadi.

“Kecuali jika dinyatakan sebaliknya, ia boleh bermakna pengembalian kepada monarki mutlak, di mana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kata putus,” kata Shad, yang memegang Kerusi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya.

Hadir sama ialah bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram dan peguam di Majlis Peguam Malik Imtiaz Sarwar.

Shad mempersoalkan sama ada kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 122 (1A) untuk melantik hakim tambahan adalah kuasa budi bicara semata-mata atau dianggap “fungsi di bawah Perlembagaan atau undang-undang persekutuan” yang mana mengaitkan nasihat perdana menteri di bawah Perkara 40 (1) Dan 40 (1A)?

“Hakim tambahan boleh dilantik untuk tujuan sedemikian atau untuk sebarang tempoh sebagaimana ditentukan Agong. Bagaimanapun, bolehkah tujuannya digunakan bagi jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan?

Perkara 122 (1A) menyatakan “Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat ketua hakim Negara Mahkamah Persekutuan, boleh melantik mana-mana orang yang memegang jawatan kehakiman yang tinggi di Malaysia untuk menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan bagi apa-apa maksud atau bagi apa-apa tempoh masa yang ditentukan olehnya. Dengan syarat tiada hakim tambahan layak untuk memegang jawatan kerana mencapai umur 66 tahun.”

Shad juga menyeru pembaharuan ke arah kebebasan badan kehakiman dan pemisahan institusi.

“Mahkamah sivil yang unggul adalah berbeza dan bebas daripada cabang negeri yang lain,” katanya.

“Malangnya, mahkamah lebih rendah adalah sebahagian daripada perkhidmatan kehakiman dan perundangan di mana ketua JPA (Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam) dan peguam negara mempunyai pengaruh signifikan di bawah Perkara 138.”

Di bawah artikel Perkara 138, peguam negara mengetuai Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JLSC). Sebelum 1960, ketua hakim negara mempengerusikan JLSC.

Sebelum pelantikan hakim, bekas ketua hakim Abdul Hamid Mohamad mengatakan Perkara 122 (1A) tidak boleh digunakan untuk melanjutkan tempoh ketua hakim negara.

Hamid juga menyatakan pelantikan hakim tambahan mestilah atas cadangan ketua hakim negara, yang bermaksud ia harus mencadangkan dirinya jika dijadikan hakim tambahan.

Oleh itu, beliau berkata seorang hakim tambahan tidak boleh menjadi ketua hakim negara.

Kerajaan berkata lanjutan itu dicadangkan bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria sebelum bersara pada 30 Mac.

Presiden Majlis Peguam Malaysia George Varughese menganggap pelantikan yang disyorkan Perdana Menteri Najib Razak, sebagai “menganggu” dan “terang-terangan tidak berperlembagaan”, menegaskan lima pelanggaran perlembagaan dalam peluasan kedua hakim tersebut.

Majlis Peguam akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 3 Ogos di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor untuk mendapatkan mandat daripada anggotanya sebelum memutuskan tindakan undang-undang seterusnya. – 22 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen