KEMATIAN seorang guru di sekolah pendalaman dalam kebakaran awal minggu ini sekali lagi membangkitkan persoalan tentang kedaifan sekolah di pendalaman Sarawak dan kesukaran yang perlu ditempuh para guru setiap hari untuk berbakti kepada anak bangsa.
Tragedi sedih itu berkisar kepada pengorbanan Catherine Janet Tiwi yang dilaporkan masuk ke dalam bangunan yang sedang terbakar bagi membantu dua rakan sekerjanya yang terperangkap dalam kebakaran itu.
Catherine, 25, terbunuh dalam tragedi itu, dua lagi rakannya pula cedera parah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi di SK Batu Bungan di Mulu pada Rabu.
Kebakaran itu memusnahkan dua rumah kayu, penginapan sementara Catherine dan dua rakannya yang menghadiri kursus motivasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Kematian Catherine kini hangat diperkatakan kerana beberapa sebab: tindakannya yang berlari masuk ke dalam bangunan yang sedang terbakar untuk menyelamatkan rakan sekerjanya serta keadaan sekolah pendalaman Sarawak yang usang dan daif.
Susulan tragedi itu, Menteri Muda untuk Penyelidikan Teknologi dan Pendidikan Sarawak Dr Annuar Rapaee berkata negeri itu memerlukan hampir RM50 bilion untuk membaiki dan membina semula lebih 1,000 sekolah yang 70% daripadanya dianggap using.
Catherine berketurunan Bidayuh dari Bau dan mengajar di SK Penghulu Baya Mallang di Apoh, Baram sejak setahun lalu.
Beliau berada di SK Batu Bungan sejak Selasa bagi menghadiri kem motivasi selama lima hari.
Pengorbanan dan keberanian ditunjukkan Catherine, satu-satunya anak perempuan daripada empat adik beradik itu merupakan cerminan kepada sifat para guru di sekolah pendalaman, kata pesara guru Augustine Sain Maja.
Augustine yang berusia 61 tahun dan berasal dari Engkilili itu menghabiskan seluruh hidupnya mengajar di sekolah pendalaman sehinggalah bersara enam tahun lalu berkata guru-guru yang mengajar di sekolah pendalaman Sarawak mempunyai hubungan erat kerana tugas mereka.
“Kaum, agama dan latar belakang mereka tidak jadi persoalan. Mereka belajar untuk bergantung kepada satu sama lain ketika mereka berusaha menempuh kehidupan yang sukar,” kata Maja kepada The Malaysian Insight cuba menjelaskan pengorbanan Catherine itu.
“Kami perlu bergantung kepada satu sama lain untuk bertahan dalam kehidupan yang sukar.
“Jika kami perlukan bantuan, kami tahu kami boleh tanya mana-mana rakan sekerja lain dan mereka akan tolong.”
Maja mula belajar tentang hubungan erat ini ketika ditugaskan mengajar di SK Nanga Tibu di Ulu Engkari, Lubok Antu pada 1987.
Sekolah itu, seperti kebanyakan sekolah pendalaman lain, tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih.
Ia hanya mempunyai sebuah bangunan dan semuanya ditempatkan dalam bangunan itu- kelas, bilik guru dan asrama untuk lebih 100 pelajar yang datang dari rumah panjang berhampiran.
“Biliknya” hanyalah “kotak kecil” berukuran 12 kaki persegi.
“Bumbung atap berkarat begitu juga dindingnya tetapi ia berikan keselesaan yang saya perlukan- bilik tidur, dapur dan tempat berehat,” katanya tergelak mengimbau kenangan lama.
“Bilik air” pula di sungai.
Untuk sampai ke sekolah itu pula perlu menaiki bot panjang. Tidak ada jalan raya menuju ke sekolah itu.
Apabila mahu pulang ke kampungnya, Maja terpaksa melintasi “tasik” empangan hidroelektrik Batang Ai dan kemudiannya mudik sebatang sungai yang pada musim hujan akan berarus deras dan merbahaya.
Pada musim kemarau pula, perjalanan akan mengambil masa lima jam kerana bot panjang perlu ditarik melintasi sungai yang cetek dan diangkat melalui tiga “air terjun”.
Perjalanan itu tidak mungkin dilaluinya berseorangan.
“Orang gila dengan kekuatan luar biasa sahaja yang boleh angkat bot naik air terjun itu,” katanya.
Beliau sentiasa ditemani rakan guru lain yang bersama-sama pulang ke sekolah.
Kesukaran itu bagaimanapun tidak menghalang Maja menikmati tempoh tiga tahun yang menyeronokkan mengajar di situ.
“Saya minta tukar,” katanya.
“Saya minta tukar ke sana kerana saya mahukan pendedahan.”
Selepas menyesuaikan diri dengan kehidupan di persekitaran baharu, beliau mula berusaha membuatkan kehidupan di sana bertambah baik.
Beliau mula berpakat dengan guru lain, murid-murid yang lebih besar dan penduduk rumah panjang untuk membina sekolah itu.
Pada waktu lapang hujung minggu pula, beliau bersama rakan guru lain mula memburu dan memancing ikan.
“Ketika itulah kami belajar bergantung kepada satu sama lain dan perkara ini sama sahaja di semua sekolah pendalaman. Tidak ada manual. Ia gerak hati.”
Pengebumian Catherine semalam dihadiri Menteri Penyelidikan Pendidikan, Sains dan Teknologi Sarawak Michael Manyin, Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol dan seluruh penduduk Kampung Skio.
Pejabat Perdana Menteri turut meluahkan kesedihan ke atas tragedi itu dan mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk menelitinya.
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching mengadakan sesi dialog dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pemimpin komuniti di SK Batu Bungan di Mulu hari ini. – 29 Julai, 2018.
Komen