Laksana pelan tindakan diabetes sebelum terlewat, amaran pakar kesihatan


Looi Sue-Chern

Jawapan kepada peningkatan jumlah pesakit diabetes tidak terletak pada dasar baharu, tetapi pelaksanaan betul terhadap yang lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2018.

MASALAH diabetes di Malaysia bukanlah perkara baru dan ia dijangka bertambah buruk melainkan kerajaan serius melaksanakan strategi dan rancangan tindakan sedia ada yang dirancang bertahun lalu, kata pakar kesihatan.

Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) Dr Tee E Siong berkata jawapan kepada peningkatan jumlah pesakit diabetes tidak terletak pada dasar baharu, tetapi pelaksanaan betul terhadap yang lama.

“Kementerian Kesihatan mempunyai Pelan Tindakan Nasional untuk Pemakanan bagi tahun 2016 hingga 2025. Ini adalah siri ketiga sejak yang pertama pada 1996. Ia memperincikan strategi dan pelan tindakan termasuk diabetes,” kata Tee kepada The Malaysian Insight.

“Terdapat satu lagi, Rancangan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Tidak Berjangkit, walaupun ia khusus mengenai diabetes.

“Kita hanya perlu melaksanakan rancangan ini.”

Tee berkata pelan dan dasar mestilah menjadi usaha beberapa kementerian dan pelbagai agensi, kerana isu kesihatan mempunyai kesan limpahan serius terhadap banyak isu negara yang lain.

“Selalunya terdapat kekurangan kolaborasi dalam kerajaan. Ia serius kerana masalah kesihatan seperti diabetes dan obesiti juga adalah masalah alam sekitar, sosial dan pendidikan,” katanya.

Baru-baru ini Pengerusi Eksekutif Institut Diabetes Negara (Nadi) Dr Mustaffa Embong mendedahkan Malaysia mempunyai kadar diabetes paling tinggi di Asia, dengan mengatakan 2.5 juta orang dewasa berumur 18 tahun ke atas kini didiagnosis dengan penyakit ini.

Tee berkata, jumlah itu tidak mengejutkan kerana trend pesakit diabetes yang semakin meningkat berleluasa selama bertahun-tahun.

Dan penyelesaian itu adalah sebagaimana usia masalah itu sendiri.

 “Kita perlu memulakan makanan seimbang. Ini fakta yang sekian lama kita tekankan selama 40 tahun,” kata Tee.

“Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa pun. Sekiranya kita dapat mengurangkan pengambilan kalori, kita boleh membuat kemajuan dengan diabetes dan juga obesiti.”

Tee berkata diabetes disebabkan oleh pelbagai faktor lain seperti makan berlebihan, yang juga menyebabkan obesiti; pengambilan makanan dengan pewarna sintetik; ketahanan terhadap insulin dan lain-lain.

“Karbohidrat daripada beras dan makanan lain menyumbang kepada paras gula dalam darah kita. Kita mengambil lebih banyak gula daripada kuih, sirap atau minuman kordial, berbanding minuman manis.”

Dr Mohamed Namazie Ibrahim, presiden Persatuan Perubatan Malaysia, berkata diabetes dikaitkan secara langsung dengan perubahan gaya hidup apabila taraf ekonomi keluarga bertambah baik.

“Sebab utama adalah perubahan dalam gaya hidup, perubahan daripada makanan tradisi, penggunaan makanan tambahan termasuk minuman bergula tinggi dan penurunan aktiviti luar serta senaman,” katanya.

Pendidikan cara lama

Dr Namazie dan Tee bersetuju hanya dengan mendidik orang muda dan tua adalah satu cara untuk memerangi diabetes.

Tee berkata sementara kerajaan memberi tumpuan kepada membina lebih banyak hospital, harus ada usaha yang sama dalam penjagaan pencegahan dan memperkasakan orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat dan aktif.

Ini harus bermula dengan kanak-kanak di sekolah rendah sekarang, katanya.

“Mereka akan menjadi orang dewasa dalam masa 20 tahun. Kita tidak mahu mempunyai generasi muda dengan tekanan darah, paras gula dan kolesterol yang tinggi.

Dr Namazie berkata Kementerian Kesihatan perlu menggalakkan gaya hidup sihat sepanjang tahun dan membantu rakyat memahami piramid makanan dan bahaya diet karbohidrat tinggi.

Pada 2016, kerajaan mempertimbangkan cukai ke atas minuman bergula untuk mengurangkan kadar diabetes.

Bekas menteri kesihatan S. Subramaniam dilaporkan menyebut kejayaan Mexico dalam mengenakan cukai 10% ke atas minuman bergula pada 2014, yang juga menyebabkan UK memperkenalkan cukai gula serupa bagi minuman ringan untuk membendung obesiti kanak-kanak pada 2016.

Dr Namazie berkata cukai itu akan dibantah oleh orang ramai, tetapi kerajaan harus mempertimbangkan mengurangkan subsidi memandangkan gula sudah diakui umum merbahayakan kesihatan.

Beliau juga berkata pihak berkuasa mesti mempertimbangkan undang-undang untuk mengawal kandungan gula dalam minuman tin dan botol.

“Kerajaan juga harus mempertimbangkan label amaran untuk minuman bergula, seperti yang kita lihat pada paket rokok dan iklan, untuk mengurangkan pengambilannya.”

Bagaimanapun, Tee menekankan tanpa pengetahuan yang betul, menaikkan harga gula atau barangan makanan lain yang dianggap tidak sihat tidak akan menghasilkan keputusan berkekalan memandangkan permintaan akan sentiasa ada.

“Masalahnya ialah kebanyakan pengguna tidak mahu alternatif lebih sihat kerana ia tidak rasa sedap,” katanya.

Seorang pekerja di sebuah restoran 24 jam di Taman Desa, Kuala Lumpur, berkata terdapat pelanggan yang meminta minuman tanpa gula, atau minuman kurang kurang, majoriti pelanggan mereka gembira dengan kadar dua setengah sudu makan gula bagi setiap minuman bersaiz biasa.

“Sekiranya mereka mahu kurang manis, kita akan menggunakan satu setengah sudu gula,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Biasanya warga tua yang tidak meminta gula. Setakat ini, tiada siapa yang mengadu.” – 1 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen