ISU agama, isu kaum, isu bahasa dan sentimen kedudukan raja-raja Melayu terus menggegarkan Kuala Lumpur. Itu suasana dalam Perhimpunan Ummah di Padang Kelab Sultan Sulaiman (KSS) di Kampung Baru semalam.
Isu yang sama dibangkitkan ketika pidato umum dibuat di depan Masjid Negara selepas solat Jumaat kelmarin.
Semua panel dan pemidato muncul dengan trajektri serangan sehala: Bahawa raja-raja Melayu, agama Islam, keistimewaan Melayu dan bahasa Melayu sedang terancam.
Malah, LGBT dan fahaman liberal serta plural agama juga sedang bebas berkembang tanpa kawalan undang-undang. Lebih mudah kalau disebut: Perlembagaan kini sedang melalui era koboi!
Suara ucapan sangat bersemarak, tetapi asas hujahnya masih kekal dengan retorik tanpa fakta. Dari Masjid Negara ke KSS, semuanya menjaja dan membakar sentimen Islam dan Melayu.
Ini antara siri kebangkitan yang sedang diruapkan menjelang 100 hari pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Namun, hujah yang lemah serta tuduhan semborono begini menjadikan siri pidato itu kedengaran sama seperti siri demontrasi gaya 90-an.
Apa pun, ia antara realiti yang sedang membiak dalam gerakan sivil pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Namun artikel ini, mahu melihat sisi lain yang lebih relevan untuk dianalisis. Supaya kita melihat realiti. Gerakan sivil tidak boleh digagaskan semula dengan mengulangi hujah-hujah yang bombastik.
Sejak kerajaan PH berkuasa, ada tiga perkara utama yang menjadi persoalan dan tumpuan utama masyarakat. Pertama, isu ekonomi. Isu ini sendiri dikaitkan pula dengan dua perkara.
Pertama, tindakan siasatan dan perundangan terhadap semua salah laku dan kes-kes penyelewengan yang dikaitkan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Kedua, membetulkan dan melaksanakan dasar-dasar ekonomi lebih relevan yang dijanjikan PH dalam manifesto PRU14 yang lalu.
Isu kedua pula yang turut dicanang menjelang 100 hari penubuhan kerajaan PH, tentunya tuntutan-tuntutan untuk menghapuskan pelbagai akta dan undang-undang yang disifatkan sebagai warisan regim lama.
Apa saja kekangan akta dan perundangan yang dianggap bertentangan dengan semangat demokrasi tulen perlu dihapus atau dipinda segera. Ini bagi merealisasikan janji era pembaharuan bagi mewujudkan kebebasan bersuara.
Ketiga isu mengenai Islam
Wujud sentimen dan persepsi yang menyifatkan PH ialah kerajaan liberal. Dalam bacaan mudah, gandingan lima parti (DAP 42 kerusi, PKR 52 kerusi, Bersatu 13 kerusi dan Amanah 10 kerusi serta Warisan 8 kerusi) dikaitkan sebagai gambaran kolaborasi ini didominasi parti-parti yang wakil rakyatnya pendokong aliran liberal.
Ini stigma yang secara matematik mudah berdasarkan mata kasar, perjumlahan penguasaan kerusi menyebabkan kerajaan PH mudah diserang dengan isu-isu Islam yang sangat sensitif.
Wujud kebimbangan ketara dalam kalangan umat Islam apabila dengan menggunakan persepsi angka, idealisme Islam yang didokong parti Amanah dan Bersatu sebagai suara Islam, dianggap tidak menonjol.
Usaha mencetuskan kekeliruan menjadi mudah kerana Amanah dan Bersatu boleh saja dituduh sebagai terpaksa menjaga kepentingan sekutu dalam PH yang dilihat dikuasai parti-parti berorientasikan demokrasi liberal.

Apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melantik Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai menteri agama di Jabatan Perdana Menteri, setiap persoalan mengenai Islam kini terfokus pada Dr Mujahid.
Selain diajukan pelbagai soalan, tentulah jawapan-jawapan ahli Parlimen Parit Buntar (Amanah) ini menjadi perhatian. Tiap soalan menghadirkan jawapan. Namun, Dr Mujahid terpaksa berdepan dengan jawapan yang kembali dipersoalkan.
Dr Mujahid berdepan cabaran manipulasi
Cabaran besar yang menanti Dr Mujahid ialah menjawab setiap soalan berkaitan raja-raja dan kedudukan Islam yang memungkinkan ditafsir secara dua persepsi.
Bagi kumpulan yang mahukan pembaharuan, jawapan-jawapan dengan idea-idea pembaharuan akan diterima sebagai langkah-langkah perlu bagi membina nilai Islam lebih progresif dan dinamik.
Ini sejajar dengan Janji 11 Manifesto PH yang mendokong Kedudukan Raja-Raja Melayu untuk terus dipelihara. Malah, ditekankan juga kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan akan terus didokong dengan jaminan.
Dr Mujahid berdepan dengan fenomena untuk menjelaskan sebaik mungkin manifesto “Rahmatan Lil Alamin”.
Satu tafsiran pelaksanaan Islam kerajaan PH yang menjurus kepada menjadikan Islam sebagai agama yang membawa rahmat ke seluruh alam.
Secara terperinci, “Rahmatan Lil Alamin” juga menjadikan Islam model negara ini sebagai agama yang adil untuk kesejahteraan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.
Bagi pendokong pembaharuan, ini satu dasar yang dilihat sebagai terbaik untuk memastikan Islam akan terus mendasari pembaharuan dalam kerajaan PH.
Sebagai teras perlembagaan, tentunya Dr Mujahid mahukan dasar Islam mampu bertindak adil dan tidak menakutkan (menzalimi) agama lain.
Namun, pada masa sama, Dr Mujahid berdepan dengan tekanan gerakan hak asasi yang mahukan dasar lebih liberal pada golongan minoriti. Dalam konteks ini, kumpulan hak asasi mendesak dasar lebih mesra kumpulan minoriti terutama umat Islam yang bukan beraliran sunni.
Selain itu, aktivis LBGT, pendokongan liberal dan gerakan intelek yang mahukan tafsiran ilmu mengenai Islam berkembang dalam debat terbuka turut mendesak, Rahmatul Lil Alamin merangkumi hak-hak mereka secara dalil berasaskan hak asasi.
Sudah pasti dalam kes ini, Dr Mujahid terdedah pada bahaya kenyataannya boleh dimanipulasi oleh kedua banyak pihak. Bagi pendokong pembaharuan, idea-idea sederhana yang dibentangkan akan ditafsir dengan meluas sebagai tanda kerajaan PH mesra kebebasan hak minoriti.
Malah, memanipulasi hingga ke paras tidak munasabah. Contohnya, konon “Rahmatan Lil Alamin” turut merangkumi pengiktirafan terhadap pengamal LBGT dan faham-faham sesat yang difatwakan haram sebelum ini.
Bagi kumpulan konservatif Islam, jawapan-jawapan Dr Mujahid akan ditafsir sebagai liberal dan menipiskan nilai Islam demi memenangi hati pengundi minoriti. Apa lagi dengan motif politik untuk membangkitkan rasa kurang selamat di kalangan umat Islam mengenai kerukunan Islam Agama Persekutuan.
Saya merujuk kembali pada sesi wawancara TV secara langsung selama 60 minit antara Finaz Yunus dengan Dr Mujahid dalam program Analisis TV Al Hijrah baru-baru ini.
Dr Mujahid meletakkan asas perlembagaan dan undang-undang sebagai teras utama dalam pelaksanaan Islam kerajaan PH. Ertinya dalam konteks perlembagaan, Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan kekal dan tidak sesekali akan digugat. Peranan Mahkamah Syariah juga kekal dipelihara.
Justeru, apa juga isu yang melanggar undang-undang syariah, adalah kekal dibawah pihak berkuasa agama untuk mengambil tindakan.
Namun pada masa yang sama, bagi kumpulan hak asasi minoriti, mana-mana undang-undang yang melindungi hak-hak mereka haruslah juga dihormati semua pihak.
“Kena ingat. Kita tidak boleh menyakiti dan menzalimi sesiapa atas alasan mereka LGBT atau berfahaman berbeza dengan kita. Ada undang-undang menjamin hak mereka dalam hal tersebut,” kata Dr Mujahid.
Soalan ini dibangkitkan berhubung isu Syiah dan liberal. Dr Mujahid diajukan soalan berhubung desakan masyarakat mengenai ancaman serta tindakan yang boleh dikenakan terhadap faham-faham yang bertentangan dengan amalan Islam di negara ini.
Selain itu, Dr Mujahid turut disoal mengenai isu LBGT.
“LBGT bertentangan dengan nilai Islam kerana ia memudaratkan fitrah masyarakat. Tetapi mereka tidak boleh disakiti dan dizalimi,” tegasnya.
Dr Mujahid dalam konteks ini, menyifatkan usaha pemulihan dan komunikasi berhemah adalah jalan pembaharuan yang perlu diusahakan dalam menangani krisis minoriti. Sejajar dengan sifat Islam yang tidak hanya menjadi agama yang hanya tahu menghukum.
“Kita kena berusaha melalui program pemulihan. Jakim mempunyai rekod, usaha pemulihan berjaya menyelesaikan banyak kes LBGT,” katanya.
Dalam konteks jawapan Dr Mujahid, pasti wujud manipulasi. Walaupun jawapannya jelas mengenai perlembagaan dan perundangan, pasti ada pihak dengan sengaja akan menafsir kenyataannya bagi tujuan manipulasi.
Pihak konservatif akan melihat konsep berhemah dan diplomasi cara Dr Mujahid sebagai sifat toleransi yang memberi peluang kepada minoriti untuk beranggapan, kewujudan mereka kini diterima. Hujah politik puak konservatif akan mengaitkan dasar diplomatik kerajaan PH sebagai tindakan seolah-olah separuh mengiktiraf dan membela minoriti.
Ini konflik yang secara berpanjangan akan dihadapi Dr Mujahid. Sebagai menteri agama, faktor mempolitikkan kenyataan-kenyataan beliau adalah satu cabaran besar.
Pecandu politik akan sentiasa mencetuskan isu-isu berkaitan Islam sebagai alat atau punca kekeliruan. Agak sukar untuk membentuk kefahaman murni di kalangan masyarakat. Paling tidak, agar idea-idea pembaharuan diberikan ruang untuk dilaksanakan dan dinilai keberkesanannya.
Isu-isu Islam akan terus kekal menjadi permainan politik. Ini memandangkan sentimen agama mudah mencetuskan emosi umat Islam. Cuma, kita harus berfikir sebentar. Apakah kita akan berpolitik sepanjang hari, sepanjang bulan dan sepanjang tahun dan menjadikan agama sebagai umpan populariti?
Ada kalanya, rakyat sudah penat. Umat Islam mahu melangkah ke hadapan setelah 80 peratus pengundi telah keluar dan membuat keputusan pada 9 Mei lalu. Namun, dalam semua aspek, ada ahli politik yang terus agresif dan terus mempolitikkan isu agama. Seolah-olah, esok kita akan mengadakan PRU 15 pula.
Sudah-sudahlah. Berikan peluang kepada yang dipilih menjadi kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan. Lima tahun masih jauh di hadapan.
Usahlah agama sepanjang tahun dipolitikkan. Rakyat sudah letih! – 29 Julai, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen