Kumpulan di Pulau Pinang terima RM200,000 betulkan baik pulih bangunan


Looi Sue-Chern

Kerja-kerja pembaikan harta warisan di bandar adalah tertakluk kepada peraturan dan garis panduan yang ketat.– Gambar The Malaysian Insight, 21 Julai, 2017.

PERSATUAN Cina di Georgetown menerima RM200,000 daripada kerajaan Pulau Pinang dan ketua menterinya untuk memperbaiki kerja memulihara kuil berusia 119 tahun yang dibuat tidak mengikut panduan.

Seorang pengawas warisan baru-baru ini membantah Persatuan Kantonis Daerah Ng Fook Thong yang menjalankan kerja pemulihan tanpa mengikuti garis panduan warisan.

RM100,000 adalah daripada negeri manakala Ketua Menteri Lim Guan Eng memberikan RM100,000 daripada peruntukannya sendiri. Wang berkenaan akan disalurkan menerusi agensi warisan negeri George Town World Heritage Incorporated (GTWHI).

Lim ketika mengadakan lawatan ke tapak bandar warisan Unesco hari ini berkata, beliau tidak berminat untuk bertengkar dengan mereka yang mengkritik kerja pembaikpulihan, namun berharap mereka akan menghargai usaha ikhlas persatuan terbabit.

“Kita tergerak dengan usaha ikhlas mereka membaikpulih bangunan. Mereka mengakui membuat kesilapan (dalam pembaikpulihan) dan cuba memperbetulkan mereka. Jadi kita di sini hari ini untuk melihat pelaksanaan projek pemuliharaan ini.

“Sekiranya mereka yang mengkritik berminat untuk membaik pulih, mereka perlu sumbangkan sedikit wang untuk menyokong usaha ini. Jangan hanya pandai mengkritik tapi tiada tindakan lanjut,” katanya.

Baru-baru ini kumpulan George Town Heritage Action memuatnaik di laman Facebooknya kerja “haram” pembaikpulihan kuil, menggambarkan lantai yang dipecahkan dan menggunakan simen moden dan bukan batu kapur.

GTHA turut mendakwa lukisan mural juga pudar.

Kumpulan terbabit mempersoalkan bagaimana perkara itu terlepas daripada perhatian pihak majlis PBT dan GTWI apabila kerja itu sudah dijalankan sejak beberapa hari dengan penghantaran perancah, simen dan bahan binaan lain ke kuil itu selain kerja memecahkan lantai yang kedengaran hingga ke jalan raya.

Kerja-kerja pembaikan harta warisan di bandar adalah tertakluk kepada peraturan dan garis panduan yang ketat.

Bangunan yang terletak di Lebuh Chulia dibina pada 1898. Kuil terbabit pernah ditempatkan di Lebuh Gereja, di mana terletaknya  lokasi Peranakan Mansion sekarang.

Tanah Lebuh Chulia untuk kuil didermakan Kapitan Chung Keng Kwee pada 1895. Tapak itu juga merupakan tempat Sekolah Rendah Cina Shang Wu dibina.

Berikutan usianya, pendedahan kepada cuaca, keadaan tapak dan serangan anai-anai, kuil Ng Fook Thong mengalami banyak kerosakan kepada bumbungnya, struktur tiang, ukiran kayu, altar, mural, lantai dan dinding batu kapur.

Pembaikannya memakan kos RM25 juta yang mana tidak mampu dibiayai persatuan itu.

Kerja pembaikpulihan kuil terbabit berjalan dalam tiga fasa, pertama untuk membaiki dinding dan lantai.

Bagi fasa kedua, rangka kayu bangunan akan diperkukuhkan, bumbung dan pagar luar akan dibaiki. Fasa terakhir membabitkan pendawaian elektrik dan altar.

Dalam perkara berlainan Lim berkata kerajaan negeri bersetuju memindahkan hartanah warisan di Love Lane ke Penang Chinese Clan Association dengan jumlah nominal RM1.

Katanya perkara itu akan diuruskan peguam dan Pejabat Tanah Daerah Timur Laut bagi memastikan pemindahan dijalankan mengikut Kanun Tanah Negara.

Hartanah di persimpangan Love Lane dan Lebuh Muntri itu mempunyai kaitan dengan pergerakan Ghee Hin Georgetown pada zaman penjajahan British.

Bangunan terbabit diuruskan pemegang amanah yang meninggal dunia dilucuthakkan kepada negeri kira-kira empat tahun lalu. – 21 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen