KETIDAKUPAYAAN sistem kesihatan awam untuk berkembang seiring dengan peningkatan bilangan graduan perubatan, meletakkan rakyat Malaysia dalam risiko, kata penganalisis kanan Institut Pulau Pinang Dr Lim Chee Han.
Lim berkata ia adalah mustahil buat masa sekarang.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil masa bertahun-tahun untuk membina hospital baru dan melatih pakar baru tetapi bilangan doktor pelatih semakin meningkat tahun demi tahun dan satu-satunya langkah munasabah untuk jangka pendek adalah berusaha sebaik mungkin mengawal jumlah siswazah perubatan sambil memperluaskan keupayaan mereka, ” kata Lim.
Graduan perubatan baru perlu mendaftar dalam program latihan selama dua tahun di mana mereka akan didedahkan kepada lima latihan wajib dan empat latihan alternatif sebelum mereka mendapat lesen penuh untuk bertugas sebagai seorang doktor.
Kata Lim, doktor pelatih yang terpaksa menyambung tempoh latihan mereka disebabkan ketidakcekapan dan masalah disiplin, melambatkan program ini.
Ini menyebabkan tempoh menunggu untuk penempatan program latihan jadi berpanjangan dan ia menjejaskan kualiti latihan disebabkan kumpulan mentor-mentee yang besar.
Kata Lim lagi, perkhidmatan kesihatan dan kualiti rawatan di hospital kerajaan turut terjejas jika kerajaan gagal menangani masalah ini.
“Jika doktor pelatih tidak menjalani latihan kemahiran yang baik dan tidak mendapat pendedahan mencukupi dalam mengendalikan kes, dan mereka ini menjadi doktor kita, anda boleh bayangkan bagaimana kualiti perkhidmatan kesihatan awam,” katanya.
Statistik pada 2015 menunjukkan bilangan doktor pelatih dan pegawai perubatan yang baru adalah 28.9% daripada jumlah doktor dalam sektor awam menunjukkan perlunya untuk menangani masalah ini.
“Ini bermakna lebih 1 daripada 4 orang doktor yang kami dapati di hospital awam pasti akan menjadi doktor baru,” kata Lim.
Malaysia mempunyai hanya 44 buah hospital yang menyediakan latihan daripada 143 hospital.
Beliau berkata membina lebih banyak hospital pakar tidak akan menyelesaikan masalah apabila tidak ada pakar yang cukup untuk mengendalikan latihan.
Lim sebaliknya mencadangkan KKM melatih lebih banyak pakar dan mengekalkan mereka dalam sektor awam.
“Gabungan yang ideal ialah 1 pakar kepada lima orang doktor pelatih tetapi kini nisbahnya adalah 1 pakar untuk 6-10 doktor pelatih,” kata Lim.
Katanya KKM perlu mengkaji semula struktur program latihan kedoktoran supaya ia lebih berkesan dalam menyokong dan memberi lebih insentif kepada pakar yang melatih.
Antara lain, Lim berkata KKM juga harus meneroka peluang untuk menjalin hubungan dengan institusi perubatan dan hospital swasta bagi menyediakan latihan untuk doktor pelatih.
“Tawaran itu harus menarik dalam usaha membentuk kerjasama antara hospital swasta dengan kerajaan. Insentif harus diberi dan beban kos latihan harus dikongsi bersama pihak hospital yang terlibat dan perunding mereka,” katanya. – 21 Julai, 2017.
Komen