NUR Damia Safira Fahmi hilang dari rumah neneknya di Sungai Manik Teluk Intan, pada tengah hari 7 Mac.
Kanak-kanak berusia lima tahun itu sedang tidur ketika neneknya keluar dari rumah selama 10 minit. Kanak-kanak itu didapati hilang sejurus dia pulang ke rumah.
Tiada tanda-tanda pecah masuk, hanya pintu kelihatan terbuka.
“Hanya saudara mara terdekat tahu cara untuk buka pintu itu. Ia dikunci dari dalam, tetapi ia boleh dibuka dari luar jika seseorang tahu caranya,” kata pak cik Nur Damia, yang hanya mahu dikenali sebagai Amin, kepada The Malaysian Insight.
“Kami percaya seseorang daripada keluarga terdekat menculiknya. Apabila ibu saya menyedari yang Nur Damia hilang, dia panik. Dia hubungi saya, kakak saya (ibu kanak-kanak tersebut) dan ahli keluarga lain.
“Salah seorang daripada kami menghubungi polis. Pegawai kemudian datang ke rumah kami.”
Difahamkan, Nur Damia dilarikan oleh bapanya.
“Kami mengesyaki yang bapanya ambil dia. Dia dan kakak saya sudah tidak bersama, mereka tinggal berasingan,” kata Amin.
“Pada mulanya, kami cuba bercakap dengan keluarga dia (bapa Nur Damia), tetapi mereka beritahu kami yang mereka tidak tahu di mana dia berada, dan tidak tahu tentang apa yang terjadi.”
Berita kehilangan Nur Damia itu dicetuskan oleh sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak (Nur Alert) dan menjadi tular. Gambar serta maklumat mengenai kehilangan tersebut ditampal di papan iklan dan mesin ATM serta dimuat naik ke media sosial dan laman sesawang kerajaan.
Pada 12 Mac, Nur Damia dipulangkan semula dalam keadaan baik kepada keluarganya.
Jurucakap polis daerah Hilir Perak memberitahu The Malaysian Insight yang kanak-kanak itu diserahkan kepada polis oleh keluarga ayahnya selepas berita kehilangan itu tular.
Amin bersetuju dengan polis, bahawa sistem Nur Alert membantu kanak-kanak itu dibawa pulang dengan selamat.
“Pada awalnya, saya tidak tahu tentang sistem itu. Saya amat berterima kasih kepada polis dan orang awam kerana membantu keluarga saya.
“Jika bukan kerana sistem itu, saya rasa bapanya tidak akan memulangkan semula anaknya itu kepada kami.”
Nur Damia kini tinggal bersama ibu dan neneknya.
Ketika ditanya sama ada kanak-kanak itu masih mengalami trauma, Amin berkata dia semakin beransur pulih.
“Bila dia pulang semula ke rumah, dia diam sahaja. Tetapi lama kelamaan dia kembali seperti sedia kala.
“Dari masa ke masa, kami akan tanya sama ada dia masih takut. Dia akan jawab, ‘tidak’.”– 4 Ogos, 2018.

Komen