MENTERI Pertanian dan Asas Tani Salahuddin Ayub sedang berusaha untuk menjadikan Universiti Putra Malaysia sebagai pakar pertanian bagi memoden dan menggerak sektor itu lebih ke depan.
Salahuddin berkata, usaha yang boleh menelan kos lebih RM2 bilion itu akan membantu menjadikan sektor pertanian lebih berfaedah diterokai oleh rakyat Malaysia.
Menurut beliau, di negara-negara seperti Taiwan, Jepun dan Belanda, kejayaan sektor pertanian mereka dipacu oleh universiti yang khusus dalam bidang pertanian.
“Universiti menawarkan penyelidikan dan pembangunan untuk memodenkan sektor itu dan memastikan kualitinya.
“Kita perlu ada universiti khas. Kita perlu angkat Universiti Putra Malaysia supaya ia kembali universiti pertanian.
“Kalau tidak, kita mungkin tidak akan dapat hasilkan petani moden mahir,” beliau memebritahu pemberita di Pulau Pinang semalam selepas menerima darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran ‘Datuk’ dari Yang DiPertua Negeri.
Salahuddin berkata idea ini datang selepas melihat kejayaan negara seperti Jepun, Korea dan negara Eropah yang berupaya menghasilkan tanaman berkualiti meskipun tidak mempunyai tanah yang cukup.
“Petani mereka masih dapat melakukannya dengan baik. Kita juga mahu petani memeproleh pendapatan yang lebih baik. Rakyat sepatutnya memperoleh hidup yang lebih baik melalui sektor ini.
“Ini memerlukan usaha sepadu, teknologi baharu dan inovasi dalam sektor ini,” kata beliau.
Jelas Salahuddin, sektor pertanian mempunyai banyak potensi untuk berkembang dan memanfaatkan pasaran besar seperti China.
Menteri itu berkata beliau akan turut bersama delegasi yang menyertai lawatan rasmi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke China bulan depan.
Malaysia akan mempromosikan durian, sarang burung, sayur-sayuran dan ikan hiasan kepada rakyat China, katanya.
“Kita akan berbincang dengan China untuk mengasing protokol yang menghalang Malaysia menembusi pasaran China dalam jumlah yang besar.”
Antara isu yang akan diketengahkan ialah mengeksport durian segar ke China kerana buat masa ini hanya durian beku yang boleh dieksport ke negara itu. Ia merupakan dasar yang sekian lama kerajaan Malaysia harapkan akan diubah. – 28 Julai, 2018.
Komen